Khamis, 14 April 2022 | 4:26pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Skim Rumah Pertamaku dijangka dimanfaat 25,000 pemohon B40, M40

PETALING JAYA: Seramai 25,000 pemohon dalam kalangan B40 dan M40 dijangka memanfaatkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) di bawah Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata nilai pembiayaan menerusi SRP itu dianggarkan berjumlah RM5.9 bilion.

"Antara faktor penyumbang kepada sasaran ini ialah komitmen kerajaan melalui insiatif Jamin Kerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan, dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion ringgit.

"Dengan fokus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran di kalangan B40 dan M40, termasuklah golongan belia, peningkatan pendapatan yang diperolehi akan membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai skim pemilikan kediaman melalui program i-Biaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran i-Biaya di sini, hari ini.

Pelancaran i-Biaya itu disempurnakan beliau bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Zafrul berkata, inisiatif SRP menerusi Cagamas SRP Berhad (Cagamas) menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pembeli rumah pertama, terutama golongan muda.

Katanya, antara ketetapan inisiatif itu adalah ia menyasarkan golongan yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000 dengan harga rumah sehingga RM500,000 bagi kedua-dua pasaran utama dan sekunder.

"Peruntukan dana yuran jaminan daripada kerajaan membolehkan bank menawarkan pembiayaan melebihi 90 peratus dengan jaminan daripada Cagamas.

"Ini bermakna Cagamas akan menjamin sehingga 20 peratus nilai pembiayaan. Inilah komitmen kerajaan dalam membantu golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, pelancaran i-Biaya memberi makna yang besar khusus memastikan agenda pemilikan perumahan dalam kalangan rakyat dapat diperkukuhkan dalam satu pendekatan yang lebih tersusun.

Katanya, i-Biaya juga berupaya merungkai persoalan dan keresahan rakyat dalam soal pembiayaan bagi kediaman masing-masing.

"Malah, matlamat 500,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hanya dapat dirasai oleh rakyat apabila kita melihat keseimbangan dalam dua perspektif iaitu penyediaan perumahan dan akses kepada pembiayaan.

"Apalah ertinya kita menyediakan sekian banyak skim dan projek perumahan namun rakyat menemui kesukaran untuk memilikinya oleh sebab halangan pembiayaan," katanya.

i-Biaya menggariskan matlamat meningkatkan pemilikan kediaman terutama dalam kalangan golongan B40, M40 dan pekerja sektor tidak formal.

Ia adalah antara inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang digariskan di bawah Program Pemilikan Kediaman (HOPE) dengan kolaborasi pelbagai rakan strategik.

Ada tiga komponen bawah i-Biaya iaitu Skim Rumah Pertamaku (SRP) - Cagamas SRP Berhad; Skim Jaminan Kredit Perumahan - Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Sewa untuk Beli (RTO) Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Berita Harian X