Rabu, 13 April 2022 | 5:18pm
Wan Rosdy pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2022, Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 Bagi Tahun 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan, Kuantan.- Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Wan Rosdy pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2022, Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 Bagi Tahun 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan, Kuantan.- Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Bantuan khas Aidilfitri 8,000 penjawat awam Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui mesyuarat Majlis Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini, bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 berjumlah RM1,200 kepada 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan keseluruhan berjumlah RM9.6 juta membabitkan semua gred perjawatan.

Katanya, bantuan khas itu akan mula dibayar pada 20 April ini iaitu sebelum sambutan hari raya Aidilfitri ini.

"Pemberian bantuan khas Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak RM200 berbanding RM1,000 yang diberikan tahun lalu.

"Bantuan ini dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sebagai menghargai sumbangan serta khidmat bakti penjawat awam di negeri ini," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 bagi Tahun 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam Pahang dalam membuat persediaan menyambut AidilFitri nanti.

"Saya minta mereka berbelanja secara berhemah dan berjimat-cermat.

"Saya juga mengharapkan pemberian insentif ini dapat menyuntik semangat dan motivasi penjawat awam negeri Pahang untuk meningkatkan prestasi kerja serta berkhidmat dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri," katanya.

Berita Harian X