Selasa, 12 April 2022 | 5:20pm
Majlis Pencalonan Peringkat Jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Ibu Pejabat PKR semalam. - Foto BERNAMA
Majlis Pencalonan Peringkat Jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Ibu Pejabat PKR semalam. - Foto BERNAMA

Pemilihan PKR: 46 calon rebut jawatan MPP, AMK, Wanita

KUALA LUMPUR: Seramai 46 calon akan bertanding bagi merebut sembilan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) pada Pemilihan PKR 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bagi MPP, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah calon tunggal bagi jawatan Presiden, sekali gus jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Zaliha berkata, dua calon bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala 18 calon bagi Naib Presiden.

"Selain itu, dua calon bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), dua calon bagi Timbalan Ketua AMK dan enam calon bagi Naib Ketua AMK.

"Bagi Wanita, dua calon akan bertanding jawatan Ketua Wanita, tiga calon bagi Timbalan Ketua Wanita dan 10 calon bagi Naib Ketua Wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaliha berkata, dua calon Timbalan Presiden sudah pun membuat pengisytiharan awal untuk bertanding iaitu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli, yang membuat keputusan kembali ke arena politik perdana.

"Pertandingan bagi calon Naib Presiden menyaksikan pertembungan antara anggota parti yang kanan dan muka baharu serta anak muda yang mungkin akan menawarkan diri untuk membawa aspirasi baharu dalam parti ini.

"Pada masa sama, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menjadi satu-satunya calon wanita yang diangkat Majlis Pimpinan Wanita Pusat untuk bertanding ke jawatan Naib Presiden," katanya.

Mengulas mengenai proses pencalonan yang berlangsung semalam, Zaliha berkata, ia selesai dengan lancar dan tenang, sehingga pusat pencalonan fizikal ditutup pada jam 6 petang, manakala pencalonan atas talian ditutup pada jam 11.59 malam.

Katanya, terdapat dua pencalonan terakhir yang dikemukakan sekitar jam 11.30 malam tadi, yang mana satu pencalonan adalah untuk MPP dan satu lagi adalah Majlis Pimpinan Wanita Pusat.

"Saya mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon kepemimpinan utama parti, dengan harapan semoga parti akan kekal relevan dan terus progresif dalam membawa agenda reformasi walau siapa pun yang menang kelak," katanya.

Berita Harian X