Selasa, 12 April 2022 | 3:37pm
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

PR1MA sedia lebih 1,000 unit kediaman Sewa Untuk Milik

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menawarkan lebih 1,000 kediaman menerusi skim Sewa Untuk Milik (RTO) di bawah Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Khairul Faizi Dalaiil, berkata unit kediaman berkenaan merangkumi 22 projek PR1MA sedia ada di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan skim berkenaan sekiranya terdapat projek perumahan PR1MA pada masa akan datang untuk manfaat lebih ramai golongan terutama B40 dan M40 yang mahu membeli rumah pertama mereka.

"Skim RTO ini menawarkan sewa dalam tempoh lima tahun pertama dengan bayaran rendah.

"Kemudian apabila masuk ke tahun enam sehingga 35 dengan bayaran sedikit tinggi dari lima tahun pertama. Ia bergantung pada harga rumah.

"Ini untuk menyediakan mereka yang tak cukup duit bagi membayar deposit membeli kediaman," katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini, sempena pelancaran i-Biaya.

RTO Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) adalah satu daripada tiga komponen yang terkandung dibawah i-Biaya. Komponen lain merangkumi Skim Rumah Pertamaku - Cagamas SRP Berhad, Skim Jaminan Kredit Perumahan - Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Inisiatif berkenaan menumpukan usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40, M40 dan pekerja dalam sektor ekonomi gig.

Antara rakan strategik golongan sasaran i-Biaya adalah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Grab Malaysia, Persekutuan Lori-lori Malaysia, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan Malaysia (NEKMAT), Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) serta banyak lagi.

Rakan strategik penyedia pembiayaan dan konsultasi turut dijalinkan iaitu dengan SJKP, Cagamas SRP Berhad dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Ia berperanan membantu dari segi penyediaan pembiayaan bagi individu pemohon yang berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan, menyediakan jaminan kepada pembeli rumah pertama dan menyediakan khidmat nasihat, konsultasi serta kaunseling dalam pengurusan kredit.

Berita Harian X