Isnin, 11 April 2022 | 10:00pm
Farhash Wafa Salvador (kiri) dan Datuk Seri Amirudin Shari antara 17 calon menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR.
Farhash Wafa Salvador (kiri) dan Datuk Seri Amirudin Shari antara 17 calon menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

Pemilihan PKR: 17 calon rebut jawatan naib presiden

PETALING JAYA: Pencalonan bagi jawatan Naib Presiden PKR menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025, setakat 7 malam ini.

Naib presiden yang memperuntukkan empat tempat, ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri adalah Chang Lih Kang; Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Lima lagi calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban; ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching serta ADUN Bukit Selambau, Dr R. Summugam.

Penyandang jawatan, Tian Chua pada 27 Mac lalu, mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu, manakala Rafizi Ramli menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dan Nurul Izzah Anwar pula meletak jawatan pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita hari ini, berkata jumlah calon berkenaan belum muktamad memandangkan proses pencalonan bagi pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya akan ditutup pada 11.59 malam ini, sejak dibuka pada 9 pagi tadi.

Bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, Zaliha berkata, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu setakat ini, manakala jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri, iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK, beliau berkata, masing-masing dua pencalonan telah diterima, iaitu daripada Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita PKR Selangor yang juga ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail bagi jawatan ketua wanita.

Untuk jawatan Ketua AMK, dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri, iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara, manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung hari ini.

Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu. Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Zaliha juga berkata, ahli yang bersetuju menjadi pemilih dalam talian tidak boleh mengundi secara fizikal.

Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun di kongres tahunan masing-masing. – BERNAMA

Berita Harian X