Ahad, 10 April 2022 | 10:23am
Tabung Haji disaran supaya melaksanakan pemberian subsidi Haji secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40. - Foto hiasan NSTP
Tabung Haji disaran supaya melaksanakan pemberian subsidi Haji secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40. - Foto hiasan NSTP

Syor subsidi haji bersasar, utamakan B40

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) disaran supaya melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40.

Ini kerana, dengan mengambil kira kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat hingga RM25,000 dan bayaran jemaah RM9,980, subsidi yang ditanggung TH amat besar.

Mengutarakan cadangan itu, Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid, jika bayaran untuk melaksanakan ibadah haji dikekalkan RM9,980 seorang, subsidi yang diberikan akan mencecah RM15,020 untuk setiap seorang, yang mana ini adalah jumlah yang amat besar.

"Kami tidak menolak usaha murni kerajaan untuk memudahkan urusan jemaah haji dengan pemberian subsidi ini, namun begitu, mencadangkan agar subsidi yang diberikan adalah secara bersasar.

"Yang mana tumpuan pemberian subsidi ini hanya patut diberikan kepada jemaah haji yang datangnya dari golongan B40 dan juga kepada yang memerlukan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berpandangan golongan T20 atau M40 yang berkemampuan boleh menggunakan perbelanjaan sendiri untuk melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang bantuan subsidi kerajaan.

"Dengan mewujudkan kaedah subsidi bersasar ini, sudah tentu ia akan dapat mengurangkan impak yang ditanggung kerajaan dan juga Lembaga Tabung Haji (TH)," katanya.

Khamis lalu, TH memaklumkan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH dalam kenyataan memaklumkan kos berkenaan adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

Susulan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada jemaah biarpun kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat.

Berita Harian X