Khamis, 7 April 2022 | 6:05pm
Tetamu mendengar perutusan secara dalam talian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia pada Majlis Iftar Ramadan Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Tetamu mendengar perutusan secara dalam talian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia pada Majlis Iftar Ramadan Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Al-Wasatiyyah selaras Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar selaras dengan Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, konsep itu terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

Malah, katanya konsep terbabit selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

"Di Malaysia, lepasan Al-Azhar membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti serta alumninya dan mereka diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar 'Ummatan Wasata' atau 'Wasatiyyah' dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.

"Usaha ini memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada kerajaan Malaysia bagi kepentingan agama, negara dan ummah," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ismail berkata demikian ketika berucap secara dalam talian sempena Hari Al-Azhar Sedunia 2022 dan Ulang Tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) Ke-10, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Ismail Sabri berkata, kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.

Jelasnya, manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.

"Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.

"Justeru, kecemerlangan Al-Azhar termasuk guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat," katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Al-Azhar Sedunia, Ismail Sabri berkata, ia memberi erti besar kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi di atas sumbangan pendidikan dan pemikiran Islam universiti tersohor itu.

Sambutan itu juga mengukuhkan lagi hubungan peringkat kerajaan antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan.

"Sejak dahulu lagi, pelajar Melayu berhijrah ke Mesir khususnya Al-Azhar untuk menuntut ilmu. Menurut rekod, orang Melayu pertama yang pernah menuntut di Al-Azhar ialah Syeikh Wan Ahmad Wan Muhammad Zain AlFathani (seorang ulama Melayu yang terkenal di Nusantara dan Makkah) pada awal 1870-an.

"Sejak itu, kedatangan pelajar Melayu ke universiti ini berterusan hinggalah ke hari ini. Saya difahamkan kira-kira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al Azhar, sekali gus menjadikannya jumlah pelajar antarabangsa paling ramai," katanya.

Berita Harian X