Selasa, 5 April 2022 | 9:39pm
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

'Patuhi arahan potong gaji mahkamah syariah'

KUALA LUMPUR: Ketua jabatan bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap arahan pemotongan gaji yang diputuskan mahkamah syariah dalam kes tuntutan nafkah.

Pekeliling bertarikh hari ini ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, menyatakan ia selaras hasrat kerajaan memelihara kebajikan wanita dan anak yang terkesan dengan masalah perceraian khususnya dari aspek pembayaran nafkah.

Mohd Shafiq berkata, arahan itu secara keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dalam ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Hari Wanita pada 8 Mac lalu mengumumkan, dalam membantu golongan wanita terkesan disebabkan perceraian, kerajaan meminda Akta Pembiayaan Kewangan.

"Ia membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

"Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami dibekukan kepada isteri jika ada membuat tuntutan wang ringgit di mahkamah melalui kaedah dikenali Hiwalah," katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, inisiatif memperkasakan wanita melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Ia adalah antara enam inisiatif bagi memperkasakan wanita diumumkan Perdana Menteri sempena Majlis Sambutan Hari Wanita.

Berita Harian X