Selasa, 5 April 2022 | 5:20pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (dua kiri) menyampaikan replika cek Bantuan Ihya’ Ramadan kepada wakil masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, di sini. - Foto NOOR ATIQAH SULAIMAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (dua kiri) menyampaikan replika cek Bantuan Ihya’ Ramadan kepada wakil masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, di sini. - Foto NOOR ATIQAH SULAIMAN

MAIWP sumbang RM9.46 juta bagi mengimarahkan Ramadan

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan sumbangan RM9.46 juta bagi membantu 811 masjid, surau jumaat dan surau di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk menggerakkan aktiviti pengimarahan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 89 masjid di wilayah berkenaan masing-masing akan menerima sebanyak RM15,000; 123 surau yang mendirikan solat Jumaat (RM12,500) dan surau biasa (RM11,000).

"Dana yang diperuntukkan ini khas untuk dibelanjakan sepanjang Ramadan, sama ada program masyarakat, nak bantu ahli qariah atau apa sahaja untuk mengimarahkan masjid pada bulan mulia ini.

"Janganlah simpan duit ini pada perkara lain, kita amanahkan mereka untuk gunakan pada Ramadan. Kita yakin dan percaya bahawa pihak surau dan masjid yang diamanahkan ini akan guna wang diberikan ini dengan sebaiknya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ihya' Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, MAIWP turut memperuntukkan Bantuan Awal Ramadan yang akan diberikan secara berperingkat kepada 30,300 penerima Bantuan Kewangan Bulanan yang membabitkan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM9.09 juta.

"Selain itu, kita juga akan sumbangkan Bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada penerima yang sama bermula minggu ketiga Ramadan.

"Penerima ini adalah individu yang menerima bantuan setiap bulan daripada kita, tetapi apa yang diumumkan ini cumalah bantuan tambahan kepada mereka. Saya berterima kasih kepada MAIWP dan pembayar zakat yang sudah pun menyumbang.

"Kami di sini hanyalah sebagai pengantara untuk menyampaikan bantuan ini kepada mereka yang memerlukan bagi memastikan amal jariah ini sampai kepada orang ramai.

"Diharapkan apa yang dilakukan ini sebagai satu optik dan menunjukkan bahawa wang yang diberikan oleh pembayar zakat ini diterima oleh insan yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP turut menyediakan 14 platform pembayaran zakat fitrah secara dalam talian selari dengan norma baharu di negara ini.

"Pembayaran zakat fitrah kini boleh dibuat antaranya di Gopay Umobile, Jompay, Portal PPZ, kod QR, Shopee, MyEG dan TheNoor. Inilah usaha MAIWP untuk memudahkan umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Berita Harian X