Selasa, 5 April 2022 | 5:05pm
Penggunaan nama Bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi rantau ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana pada asasnya ia adalah satu bahasa iaitu Bahasa Melayu, kata pakar bahasa Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto hiasan
Penggunaan nama Bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi rantau ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana pada asasnya ia adalah satu bahasa iaitu Bahasa Melayu, kata pakar bahasa Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto hiasan

'Pada asasnya Bahasa Indonesia adalah Bahasa Melayu'

PUTRAJAYA: Penggunaan nama Bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi rantau ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana pada asasnya ia adalah satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.

Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata dari segi ilmu, apa yang dikatakan sebagai Bahasa Indonesia atau Bahasa Malaysia adalah sebenarnya Bahasa Melayu yang penggunaannya lebih meluas di negara dalam Kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura mahupun Brunei.

Penggunaan nama Bahasa Indonesia sebaliknya adalah lebih bersifat politik kerana di negara itu ia bertujuan sebagai alat penyatuan rakyatnya yang pelbagai suku kaum dan mempunyai dialek daerah yang berbeza-beza. Ia berikutan Bahasa Melayu yang lebih meluas penggunaannya di Sumatera terutama di Palembang dan di kepulauan Riau Lingga.

"Kita setuju bahawa Bahasa Indonesia itu lebih meluas penggunaannya dan ramai penutur berbanding Bahasa Melayu Malaysia. Jika disepakati, nama bahasa yang akan digunakan di peringkat rantau ASEAN boleh menjadi Bahasa Indonesia, Bahasa Melayu atau mungkin suatu hari nanti menjadi Bahasa ASEAN.

"Bahasanya adalah sama cuma Bahasa Indonesia sudah berkembang dan dipengaruhi bahasa Belanda serta bahasa daerah di negara itu manakala Bahasa Malaysia dipengaruhi oleh Bahasa Inggeris," katanya kepada BH.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sudah diarah membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sudah diarah membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April. - Foto BERNAMA

Oleh kerana penggunaan Bahasa Indonesia juga lebih meluas kerana jumlah penuturnya yang lebih ramai berbanding Malaysia, masyarakat negara ini boleh membuat penyesuaian terhadap bahasa berkenaan.

"Saya rasa, usaha Perdana Menteri itu sangat mulia dan menuju ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Ada segelintir pihak tidak bersetuju seolah-olah penggunaan Bahasa Melayu menolak Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris tetap penting dan perlu dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu.

"Jangan salah faham. Saya lihat ada yang menolak kerana merasakan Bahasa Inggeris akan diketepikan," katanya.

Pada masa sama, Nik Safiah berkata, usaha untuk mengguna Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN mungkin mudah diterima oleh negara ASEAN di kepulauan seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berbanding negara ASEAN di benua seperti negara Indo-China yang dipengaruhi Bahasa Perancis serta Thailand kerana penggunaan tulisan yang berbeza dan bukan menggunakan tulisan Roman.

Justeru, beliau berkata ia mungkin mengambil masa lama berbanding di negara yang sedia menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan.

Sementara itu, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, beliau tidak bercakap mengenai Bahasa Melayu yang berkaitan dengan negara tertentu.

Sebaliknya, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkata konsep Bahasa Melayu adalah luas, ada dialek besar yang dikenal sebagai Bahasa Indonesia, Bahasa Melayu Malaysia, Bahasa Melayu di Singapura, Bahasa Melayu di Brunei Darussalam, Bahasa Melayu di Thailand (khususnya di bahagian selatan), Bahasa Melayu di Cambodia, Bahasa Melayu di Laos, Bahasa Melayu di Vietnam, Bahasa Melayu di Filipina dan Bahasa Melayu di Myanmar.

"Saya kira atas pemahaman itulah Presiden Indonesia menyambut baik cadangan itu. Perbezaan yang wujud antara Bahasa Melayu di Indonesia yang diisytiharkan namanya 'Bahasa Indonesia' dengan Bahasa Melayu di Malaysia dan negara lain tidak patut menjadi penghalang atau dijadikan isu.

"Perbincangan dari hati ke hati perlu diadakan agar difahami bahawa Bahasa Melayu yang dicadangkan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN ialah Bahasa Melayu supra atau bahasa Melayu mahawangsa yang meliputi Alam Melayu (Malay Archipelago).

"Jangan jadikan kelainan nama dan perbezaan yang wujud dalam hal tertentu sebagai persaingan atau perlumbaan," katanya sambil menambah apa yang penting ialah semangat persatuan untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan konsep yang luas bagi pakatan serantau ASEAN.

Malah Awang berkata, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diterajui tiga negara penggerak iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei, istilah Bahasa Melayu-Indonesia pernah digunakan selain dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Berita Harian X