Ahad, 3 April 2022 | 12:28pm
Pangkalan haram di Sungai Golok menjadi laluan ejen sindiket membawa bakal pasangan memasuki Thailand.
Pangkalan haram di Sungai Golok menjadi laluan ejen sindiket membawa bakal pasangan memasuki Thailand.

Nikah guna sindiket naik 3 kali ganda selepas sempadan dibuka

KOTA BHARU: Permintaan pasangan Malaysia untuk melangsungkan pernikahan di selatan Thailand meningkat mendadak, menjelang pembukaan semula sempadan negara yang ditutup hampir dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

Peningkatan menggunakan ejen sindiket nikah itu dikatakan sehingga mencecah tiga kali ganda berbanding sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Malah, tarikh 1 April lalu, iaitu tarikh pembukaan semula sempadan negara juga dikatakan sudah penuh oleh beberapa ejen sindiket nikah kerana ada pelanggan dari negara ini sudah menempah tarikh berkenaan sejak dari awal.

Mereka (ejen sindiket) mendakwa, jika sebelum ini purata sebulan yang menggunakan perkhidmatan mereka sekitar 10 hingga 15 orang sahaja, namun sejak pengumuman pembukaan sempadan, sambutan diterimabegitu mendadak sehingga tiga kali ganda dan pelanggan pula dari pelbagai negeri.

Menurut seorang ejen sindiket nikah, walaupun modus operandi mereka tetap sama iaitu menggunakan pangkalanharam untuk ke Thailand seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun keyakinan pelanggan lebih tinggi memandangkan negara itu sudah boleh dilawati.

"Kita tidak menyangka sebaik pengumuman kerajaan berhubung pembukaan sempadan, ramai yang menghubungi bertanyakan pakej berkahwin di selatan Thailand atas beberapa faktor, sedangkan ketika PKP kita beroperasi seperti biasa.

"Kita menawarkan tiga pakej kepada pasangan yang mahu berkahwin di selatan Thailand iaitu RM2,800 bagi pasangan warga Malaysia, RM3,500 pasangan warga asing dan RM3,300 bagi pasangan Malaysia yang tidak cukup marhalah.

"Harga pakej dikenakan itu meliputi urusan keluar masuk sempadan Thailand tanpa pasport, urusan nikah, bayaran imam jurunikah bertauliah dari Majlis Agama Islam Narathiwat, saksi, sijil nikah dan pengesahan nikah," katanya.

Ejen itu berkata, pasangan pengantin tidak perlu bimbang atau gusar kerana pihaknya akan menguruskan semua proses dan urusan keluar masuk Thailand sehingga selesai urusan nikah.

"Pasangan menggunakan perkhidmatan kita perlu menunggu di sebuah masjid di Rantau Panjang sebelum dibawa masuk ke Thailand menerusi mana-mana pangkalan haram bersesuaian dan semua urusan dianggarkan mengambil masa satu jam.

"Jika pasangan dari Kelantan dan tidak cukup marhalah, kita perlu membawa pasangan berkenaan bernikah di Songkhla yang mengambil masa lebih dua jam.

"Sebaik selesai urusan nikah, pasangan akan menerima surat nikah yang ditulis imam.

"Surat nikah original (asli) akan diproses di Pejabat Agama Islam Narathiwat dan akan dipos ke alamat diberikan pelanggan dalam masa dua hingga tiga minggu," katanya.

Beliau berkata, mereka terpaksa mengehadkan pasangan yang mahu bernikah setiap hari memandangkan hanya dua trip sehari, iaitu pagi dan petang.

"Ini bagi mengelak berlaku masalah ketika proses keluar masuk Malaysia-Thailand memandangkan kita menggunakan pangkalan haram.

"Sekiranya tarikh diminta pasangan penuh, kita akan mengusulkan tarikh lain yang masih kosong bagi memastikan proses lancar," katanya.

Berita Harian X