Sabtu, 2 April 2022 | 12:17pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) disambut mesra oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sejurus tiba di Istana Merdeka sempena lawatan kerja beliau ke Indonesia semalam. Ismail Sabri dilapor berkata Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai bahasa ASEAN satu hari nanti. - Foto BERNAMA

Sokongan Indonesia tingkat peluang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN

KUALA LUMPUR: Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk terus bersama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu menambah peluang bagi menjadikannya sebagai bahasa rasmi ASEAN dan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata ini kerana bahasa Melayu yang mempunyai kira-kira 300 juta penutur, turut digunakan di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste.

"Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu adalah kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia yang memang menjadi sahabat seperjuangan sejak hampir 50 tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan

"Usaha penyatuan negara serantau ASEAN menerusi faktor bahasa besar ertinya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dilapor berkata Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai bahasa ASEAN satu hari nanti.

Ismail Sabri berkata kedua-dua negara sepakat menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.

Dalam pada itu, Awang Sariyan berkata untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, sokongan padu semua negara yang menggunakan atau memiliki penutur berbahasa Melayu amat diperlukan.– BERNAMA

Berita Harian X