Jumaat, 1 April 2022 | 2:56pm

PPZ-MAIWP sasar RM136 juta pungutan zakat sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan memperoleh sebanyak RM136 juta pungutan zakat harta dan fitrah daripada seramai 330,500 pembayar zakat sepanjang Ramadan ini menerusi Kempen Ramadan Penuh Makna.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata kempen tahunan itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembayar zakat sepanjang Ramadan ini.

Katanya, kempen yang diadakan bermula 3 April hingga 2 Mei dengan tema Ramadan Penuh Makna itu bertujuan menggalakkan umat Islam menunaikan zakat.

"Justeru, menerusi kempen ini, kita menyasarkan memperoleh RM130.7 juta pungutan zakat harta daripada 155,500 pembayar manakala RM5.3 juta pengutan zakat fitrah daripada 175,000 pembayar.

"Dengan pelbagai saluran bayaran yang disediakan ketika ini, saya yakin jumlah sasaran itu mampu dicapai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ Taman Shamelin di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP turut menyasarkan jumlah kesuluruhan pungutan zakat sepanjang tahun ini adalah sebanyak RM852 juta menerusi seramai 410,000 pembayar.

Katanya, jumlah kutipan zakat bagi tiga bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Justeru sasaran ini sedang disemak semula dan berkemungkinan besar akan dinaikkan lagi namun tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah," katanya.

Mengenai Kempen Ramadan Penuh Makna, beliau berkata pembayar yang menunaikan zakat harta menerusi mana-mana saluran pembayaran PPZ-MAIWP berpeluang memenangi hadiah utama iaitu pakej umrah dan ziarah.

Selain itu katanya, terdapat juga hadiah secara mingguan termasuk simpanan Tabung Haji, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan Simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Bagi pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pula berpeluang memenangi hadiah seperti sejadah dan telekung eksklusif, jam tangan, baucar makanan dan banyak lagi," katanya.

Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang Ramadan ini termasuk Jom Ngaji, Mencari Lailatul Qadar, kuiz dan pertandingan serta banyak lagi pengisian ilmiah supaya Ramadan kali ini lebih bermakna dari tahun sebelumnya.

Katanya, orang ramai juga dijemput untuk mengikuti laman Facebook, Instagram, serta TikTok rasmi PPZ bagi mengikuti perkembangan terkini dan informasi menarik.

"Selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu Memudahkan Anda Berzakat, pelbagai saluran disediakan bagi memudahkan urusan bayaran zakat dilakukan.

"Malah, sepanjang Ramadan sebanyak 10 kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari termasuk cuti dari jam 8.15 pagi sehingga 4.30 petang," katanya.

Beliau berkata, pembayar juga boleh berurusan tanpa perlu ke kaunter dengan membuat temujanji di mytemujanji.zakat.com.my yang diselia oleh pegawai zakat PPZ-MAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat.

Abdul Hakim (tengah) melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ, Taman Shamelin.-Foto NSTP/Fariz Iswasi Ismail
Abdul Hakim (tengah) melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ, Taman Shamelin.-Foto NSTP/Fariz Iswasi Ismail
Berita Harian X