Khamis, 31 March 2022 | 11:23pm
Unit berkuda PDRM akan bertugas pada pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, esok. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Unit berkuda PDRM akan bertugas pada pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, esok. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Unit anjing pengesan PDRM sentiasa bersedia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, bermula esok. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Unit anjing pengesan PDRM sentiasa bersedia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, bermula esok. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Pasukan keselamatan Thailand berkawal di sempadan Malaysia dekat Sadao, hari ini. - Foto AFP
Pasukan keselamatan Thailand berkawal di sempadan Malaysia dekat Sadao, hari ini. - Foto AFP

Rakyat Malaysia mesti patuhi SOP Thailand

SONGKHLA (Thailand): Rakyat Malaysia yang bakal memasuki Thailand melalui sempadan darat Thailand- Malaysia harus sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid menyarankan rakyat Malaysia yang akan berkunjung ke Thailand melalui pintu sempadan darat Sadao (wilayah Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis), agar mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan dan pejabat konsulat.

"Rakyat Malaysia yang memasuki Thailand harus betul-betul memahami SOP yang ditetapkan, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini ketika mereka berada di sini.

"Sekiranya berlaku sesuatu, mereka harus menghubungi terus pihak kedutaan atau pejabat konsul jeneral," katanya di sini, hari ini.

Bermula esok, dua pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan Wang Prachan-Wang Kelian akan dibuka semula kepada pelancong yang lengkap vaksin COVID-19.

Semua pelancong yang masuk melalui pintu sempadan darat di bawah program 'Test & Go' perlu memohon - 'Pas Thailand' secara dalam talian sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.

Di bawah program 'Test & Go' juga pengembara perlu membuat tempahan awal di hotel yang ditetapkan serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima.

Selain itu, mereka perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum US$20,000, katanya.

Sementara itu, pengusaha pelancongan di Songkhla di sempadan Thailand-Malaysia membuat persiapan rapi untuk menyambut ketibaan pelancong khususnya dari Malaysia melalui sempadan darat, bermula esok.

Pembukaan sempadan darat Thailand-Malaysia selepas dua tahun ditutup, bagi mengekang penularan COVID-19 dilihat bakal menghidupkan semula industri pelancongan yang terjejas teruk.

Rata-rata pengusaha pelancongan yang ditemui berkongsi kegembiraan untuk menyambut kedatangan pelancong yang ingin melawat ahli keluarga atau menjalankan perniagaan.

Pengusaha hotel, Sitthipong Sitthiprapha, berkata pembukaan sempadan darat Sadao-Bukit Kayu Hitam bermula esok merupakan titik permulaan yang penting untuk menghidupkan semula industri pelancongan di selatan Thailand.

"Walaupun ketibaan jumlah pelancong dijangka tidak seramai sebelum COVID-19 pada 2019 tetapi pembukaan semula sempadan darat dijangka memberi kesan positif kepada industri pelancongan dan merancakkan kegiatan ekonomi tempatan," katanya.

Rakyat Malaysia menjadi kumpulan pelancong terbesar ke negara itu sebelum pandemik COVID-19. Pada 2019, Thailand mencatat hampir 40 juta pengunjung, termasuk 4.1 juta pelawat dari Malaysia. — BERNAMA

Pasukan keselamatan Thailand berkawal di sempadan Malaysia dekat Sadao, hari ini. - Foto AFP
Pasukan keselamatan Thailand berkawal di sempadan Malaysia dekat Sadao, hari ini. - Foto AFP

Berita Harian X