Khamis, 31 March 2022 | 5:09pm
Peniaga dan pihak pengurusan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru bersedia menerima pengunjung susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura esok. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Peniaga dan pihak pengurusan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru bersedia menerima pengunjung susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura esok. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Pembukaan sempadan: Peniaga tidak sabar terima pengunjung

JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan darat antara Malaysia- Singapura mulai esok disambut penuh kesyukuran dan rasa teruja peniaga di bandar raya ini yang sebelum ini terjejas berikutan kekurangan pelanggan.

Tinjauan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini mendapati peniaga dan kakitangan sedang sibuk membuat persediaan termasuk menyusun stok barangan baharu selain mengambil bahan mentah bagi menyambut ketibaan pengunjung yang dijangka meningkat mendadak.

Peniaga yang menjual makanan, pakaian, aksesori wanita, kasut dan barang basah di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral turut mengakui kehadiran pengunjung dari Singapura akan merancakkan kembali aktiviti perniagaan yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

Peniaga bahulu Mahanoum Bahulu Malaya, Shahrilnizam Mohamed, 51, berkata dia sudah membuat persiapan awal dengan membeli bahan mentah lebih banyak.

Katanya, dia bersyukur kerana akhirnya peniaga dapat bernafas semula selepas lebih dua tahun perniagaan terjejas.

"Ketika pandemik, saya pernah dapat pendapatan RM1 sehari daripada jualan sebutir telur pindang menyebabkan hampir putus asa dan hilang semangat.

"Biasanya satu guni tepung seberat 25 kilogram tak habis pun digunakan sebulan sewaktu PKP lalu kerana jumlah pelanggan sangat sedikit ketika itu. Tetapi bila sempadan hendak dibuka, saya yakin ramai orang Singapura yang akan kembali datang ke Johor.

"Oleh itu, saya sudah beli 250 kilogram tepung sebagai persediaan untuk membuat lebih banyak bahulu kerana jualan dijangka akan meningkat dengan kehadiran ramai warga Singapura ke Larkin Sentral nanti" katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian dan tudung, Sally Hassan, 50, berkata peniaga di terminal berkenaan antara peniaga paling terjejas apabila sempadan Malaysia-Singapura ditutup.

Katanya, ia berikutan hampir 90 peratus pelanggan adalah pengunjung Singapura.

"Saya sudah 15 tahun berniaga di sini dan ketika PKP lalu adalah masa paling sukar buat perniagaan kami. Namun Alhamdulillah, pengurus terminal di sini sangat memahami dan sering membantu peniaga supaya dapat meneruskan perniagaan di sini.

"Saya harap pembukaan sempadan mulai esok akan beri sinar baharu buat peniaga di sini malah sudah memesan stok pakaian raya baharu sebagai persediaan pertambahan pengunjung," katanya.

Peniaga kedai serbaneka, Abdul Wabab Sahibak, 56, berkata golongan peniaga amat merindui suasana meriah di Larkin Sentral yang menjadi lokasi transit warga Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pilihan selepas keluar dari Tambak Johor.

"Perniagaan kedai runcit diusahakan keluarga sejak 30 tahun lalu kembali bernafas selepas kerajaan memutuskan tiada lagi PKP, namun saya yakin perniagaan akan lebih maju dengan pembukaan sempadan.

"Saya harap keadaan akan bertambah baik ketika Ramadan dan Aidilfitri nanti apabila jumlah pengunjung dari Singapura meningkat. Kami rindukan keadaan sebelum pandemik yang mana ramai orang Singapura datang ke Larkin Sentral," katanya.

Peniaga pakaian dan tukang jahit Faridah Hanim, 56, pula berkata, sebelum pandemik COVID-19 ramai warga Singapura berbelanja di Larkin Sentral dan menempah pakaian di situ.

"Semoga dengan pembukaan sempadan ini, aktiviti ekonomi peniaga kecil di Larkin Sentral akan kembali rancak dan kembali seperti asal," katanya.

Berita Harian X