Khamis, 31 March 2022 | 2:43pm
Sofia Raniya bersama anggota polis selepas ditemui di sebuah kondominium di Bandar Tun Razak malam tadi dan dibawa ke IPD Cheras. - Foto ihsan Polis
Sofia Raniya bersama anggota polis selepas ditemui di sebuah kondominium di Bandar Tun Razak malam tadi dan dibawa ke IPD Cheras. - Foto ihsan Polis

Polis tolak unsur culik kanak-kanak perempuan

KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis berhubung kehilangan Sofia Raniya yang ditemukan semula dalam keadan selamat malam tadi, mendapati kanak-kanak berusia lapan tahun itu tersalah menaiki bas ketika pulang dari sekolah petang semalam.

Berikutan itu, polis menolak kemungkinan terdapat unsur culik berhubung kes itu dan sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan culik membabitkan kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, kanak-kanak itu dikatakan mengikut kawan-kawannya menaiki bas.

"Kanak-kanak itu ditemukan di sebuah pondok pengawal keselamatan sebuah kondominium di Cheras," katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim merasmikan Kempen Derma Darah bersempena Hari Polis ke -215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Amirul Johari
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim merasmikan Kempen Derma Darah bersempena Hari Polis ke -215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Amirul Johari

Azmi berkata polis memandang serius akan perkara itu dan berharap terdapat inisiatif pihak terbabit untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, antaranya meletakkan tanda khas di van sekolah bagi memastikan murid tidak keliru.

"Mungkin ada kekeliruan berlaku khususnya anak-anak yang baru kali pertama kali bas. Jadi mungkin disebabkan kekhilafan ini, perkara seperti semalam berlaku ke atas kanak-kanak itu," katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai kehilangan Sofia Raniya yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, selepas ibunya tidak menemukan kanak-kanak itu di sekolah semasa mahu mengambilnya.

Kanak-kanak itu ditemukan selamat malam tadi di Bandar Tun Razak di Cheras dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. – BERNAMA

Berita Harian X