Isnin, 28 March 2022 | 5:01pm

TLDM bakal terima helikopter operasi maritim

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima tiga helikopter operasi maritim (HOM) buatan Itali pada April dan September seperti dijadualkan.

Helikopter utiliti jenis AW 139 itu dilengkapi dengan RDR 1700A radar pencarian dan 12.7 milimiter mesingan.

Mengesahkan perkara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, dua helikopter akan diterima pada bulan depan.

"Baki satu lagi helikopter akan diterima pada September ini selepas ianya siap sepenuhnya.

"Ketiga-tiga helikopter ini akan beroperasi di Kota Kinabalu , Sabah," katanya ketika ditemui di reruai TLDM sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.

TLDM ketika ini sudah mengoperasikan masing-masing enam helikopter Super Lynx dan AS555SN Fennec sejak 2003.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - NSTP/Asyraf Hamzah
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - NSTP/Asyraf Hamzah

Perolehan tiga helikopter itu dengan peruntukan kira-kira RM220 juta ini bakal menggandakan lagi keupayaan Unit Udara TLDM termasuk dalam operasi hantaran udara.

Model AW139 adalah helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina.

Mengulas lanjut, Mohd Reza turut mendedahkan dalam perancangan untuk menambah kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua.

"TLDM dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Husein sedang mengusahakan belanjawan pada tahun ini.

"Kita jangkakan tiga LMS diperlukan dan senarai negara pengeluar sudah di senarai pendek antaranya dari China, Belanda dan Turki," katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X