Ahad, 27 March 2022 | 5:54pm
Teknologi AR dapat menarik minat pelajar dengan kewujudan pensyarah maya di hadapan mereka di mana-mana sahaja yang diperlukan. - Foto UTM
Teknologi AR dapat menarik minat pelajar dengan kewujudan pensyarah maya di hadapan mereka di mana-mana sahaja yang diperlukan. - Foto UTM

MARLA aplikasi sokong PdP luar talian

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penyelidik dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan aplikasi mudah alih yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar talian.

Dinamakan 'Mobile-Based Augmented Reality Lecturer Assistant' (MARLA), aplikasi berkenaan dihasilkan melalui gabungan teknologi terkini kecerdasan buatan (AI), 'augmented reality' (AR) dan pemprosesan imej (Image Processing).

Ketua Penyelidik, Dr Nur Haliza Abdul Wahab, berkata aplikasi berkenaan membantu memudahkan pembelajaran dan pengajaran terutama dalam keadaan penutupan sesi pembelajaran secara bersemuka yang berpanjangan akibat pandemik COVID-19, sekali gus meningkatkan pencapaian pelajar biarpun tidak mempunyai talian internet.

Katanya, terdapat banyak masalah dan kekangan yang wujud berikutan pembelajaran dalam talian, antaranya beban kerja pensyarah meningkat dan pelajar juga mengalami tekanan dan sukar mengekalkan motivasi, selain masalah liputan internet di pedalaman yang menyulitkan pelajar dan pensyarah di kawasan itu.

"Penutupan institusi pengajian tinggi dan sekolah akibat pandemik membawa perubahan dalam sistem pendidikan. Pembelajaran bersemuka diubah kepada pembelajaran dalam talian. Penggunaan teknologi terkini gabungan AI dan AR bukan sahaja dapat digunakan tanpa internet malah dapat meningkatkan motivasi pelajar terhadap pembelajaran.

"Teknologi AI juga membantu sesi soal jawab pelajar bersama pensyarah maya (virtual lecturer) dalam memberi dan menyampaikan matlumat tepat kepada pelajar. Aplikasi ini yang menggunakan teknologi AR dapat menarik minat pelajar dengan kewujudan pensyarah maya di hadapan mereka di mana-mana sahaja yang diperlukan," katanya.

Menurutnya, interaksi sedemikian dapat menarik minat pelajar kerana sesi komunikasi yang dibantu dengan teknologi AI membuatkan ia seperti interaksi di antara manusia dan manusia dan bukan seperti berkomunikasi dengan mesin atau robot.

"MARLA aplikasi mobil yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja, menggunakan teknologi termaju dan boleh dimiliki semua individu yang ada telefon pintar. Ciptaan ini dijangka menjadi satu trend di seluruh dunia selaras pergerakan teknologi ke arah 'Metaverse', segala bercirikan 'reality'.

"Aplikasi ini akan membawa sektor pembelajaran di Malaysia ke tahap jauh lebih tinggi. Ciptaan ini juga menerima beberapa pengiktirafan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Antara anugerah itu, Gold Award (Project Leader) di New Academia Learning Innovation 2021 (NALI 2021); Special Award (Project Leader) di Asia International Innovation Exhibition (AIINEX) 2021; Gold Award (Project Leader) di International Virtual Expo of Innovation Product and System Design 2021 (In-ViDE 2021); Silver Award (Project Leader) AIINEX 2021 dan Silver Award (Project Leader) di International Alumni Convention & Innovation Exhibition (INACIX) 2021.

Berita Harian X