Ahad, 27 March 2022 | 12:43pm

KDN tentukan tindakan ke atas penjawat awam

SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan tindakan ke atas lapan penjawat awam yang ditahan kerana disyaki berkomplot dengan sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN. Kita tunggulah.

"Ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, perintah sekatan atau dibebaskan.

"Bagi pihak polis, kita berpuas hati dengan maklumat yang kita ada berkenaan penglibatan lapan penjawat awam itu dalam sindiket yang kita tangkap. Kita tunggu keputusan daripada KDN," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan baru penjawat awam membabitkan sindiket terbabit.

"Seperti saya sering tegaskan, kita tidak tolak ansur dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit. Mereka pasti akan ditangkap," katanya.

Ayob Khan berkata, seorang lagi penjawat awam yang ditahan sudah dituduh bersama-sama seorang nelayan.

Pada 15 Mac lalu, Ayob Khan dalam kenyataan berkata, sembilan penjawat awam dan seorang nelayan disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah diberkas di Putrajaya dan Johor Bahru pada 6 Mac lalu dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,590.

Menurutnya, dadah dirampas itu cuba diseludup sindiket lain di Banting untuk pasaran di Indonesia.

Semua penjawat awam itu bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Putrajaya.

Lapan penjawat awam terbabit dalam komplot pengedaran dadah. - Foto hiasan NSTP
Lapan penjawat awam terbabit dalam komplot pengedaran dadah. - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X