Sabtu, 26 March 2022 | 6:37pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Harga bufet Ramadan hotel Kedah, Perlis dijangka naik 15-20 peratus

KUALA LUMPUR: Pengusaha hotel bertaraf tiga dan empat bintang di Kedah dan Perlis tidak dapat menolak kenaikan harga bufet Ramadan antara 15 hingga 20 peratus berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat, berkata harga bufet Ramadan sejak dua tahun lalu adalah sekitar RM50 hingga RM68 bagi kebanyakan hotel bertaraf tiga dan empat bintang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat.
Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat.

"Ia adalah harga bufet bagi kebanyakan hotel, manakala hotel lima bintang pula biasanya menawarkan bufet Ramadan bermula RM90 dan lebih berikutan mereka menjual makanan mengikut set.

"Berikutan peningkatan kos bahan mentah, hotel tidak dapat mengekalkan harga sama dan memang akan ada kenaikan daripada tahun sebelumnya. Setiap hotel bebas menetapkan harga mereka sendiri," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, anggaran harga bufet Ramadan di Kedah dan Perlis masih berpatutan dan jauh lebih rendah berbanding Lembah Klang.

"Secara umumnya, jika ada kenaikan 15 peratus, pelanggan hanya perlu membayar tambahan RM7.50 dan RM10 (jika naik 20 peratus) berbanding harga asal RM50.

"Kenaikan ini adalah munasabah kerana menu yang disediakan kekal, contohnya hidangan kambing bakar. Hotel tidak akan mengurangkan pilihan menu kerana ia adalah tarikan kepada pelanggan," katanya.

Katanya, penetapan harga bufet terpulang kepada hotel berikutan sejak dahulu, bufet Ramadan bukan harga ditetapkan secara kawalan.

"Justeru kami di MAH Perlis dan Kedah bersetuju dengan peningkatan harga itu kerana dipengaruhi kenaikan harga mentah, kos operasi dengan jaminan hidangan yang berkualiti, bersih, menyelerakan dan banyak pilihan," katanya.

Berita Harian X