Sabtu, 26 March 2022 | 2:37pm
Antara pokok ganja yang dirampas dari rumah seorang penyanyi nasyid di sebuah unit kondominium di Kota Damansara, semalam. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Antara pokok ganja yang dirampas dari rumah seorang penyanyi nasyid di sebuah unit kondominium di Kota Damansara, semalam. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Penyanyi nasyid mungkin beli benih pokok ganja secara 'online'

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat bagi mengesan punca bekalan benih pokok ganja diperolehi seorang penyanyi nasyid yang ditahan selepas dikesan menanam pokok bahan terlarang itu di kediamannya di Kota Damansara dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid, berkata setakat ini siasatan lanjut dijalankan termasuk kemungkinan bekalan benih diperoleh daripada pembekal yang menjual secara dalam talian.

"Pada peringkat ini, kIta masih siasat perkara itu dan termasuk kemungkinan berkalan benih diperolehi suspek dengan membelinya secara 'online' (dalam talian).

"Kita sedang dalam proses melengkapkan kertas dan berdasarkan siasatan awal, suspek tidak terbabit dengan aktiviti pengedaran dan memproses dadah," katanya kepada BH, hari ini.

Hasil soal siasat dilakukan ke atas suspek berusia 47 tahun itu, pokok ganja berkenaan tidak dijual sebaliknya ditanam untuk kegunaan sendiri.

"Suspek dipercayai menanam pokok ganja berkenaan dengan membeli sendiri benih dan mengeringkannya untuk kegunaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut sebaik siasatan selesai," katanya.

Semalam, BH melaporkan kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam pokok ganja terbongkar selepas polis menyerbu sebuah unit kondominium di Kota Damasara.

Dalam serbuan jam 5.30 petang, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja dalam sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik lutsinar ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,200.

Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, polis turut menemui cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Wish dan sejumlah wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaaan dianggarkan RM40,700.

Hasil ujian saringan awal urin yang dijalankan ke atas suspek yang juga seorang komposer didapati positif dadah jenis THC dan dia juga sudah terbabit dengan penagihan dadah selama 10 tahun.

Suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (1) (a) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Berita Harian X