Sabtu, 26 March 2022 | 2:15pm
FOTO REUTERS
FOTO REUTERS

Akta baharu larangan merokok dibentang Julai

SEPANG: Akta baharu bagi melarang kegiatan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok, termasuk rokok elektronik (vape), ke atas generasi yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai 'Generational End Game', akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata akta itu sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara, dan berkemungkinan akan diselesaikan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Ia kemudian akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Inovasi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Community Health Agent (MyCHAMPION) Peringkat Kebangsaan 2022, di Sepang, hari ini.

Pada 17 Februari lalu, Khairy dipetik berkata, akta baharu berkaitan rokok akan diperkenalkan terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.

Ia bagi mengurangkan keterdedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau, kerana pengambilannya adalah faktor utama kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Kesihatan meminta sukarelawan bawah MyCHAMPION untuk bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) menjadikan Malaysia negara bebas rokok.

"Saya meminta anda mengamalkan konsep 'tegur kerana sayang'. Tegurlah individu yang merokok di kawasan larangan merokok ini baik-baik. Contohnya, merokok di dalam kedai makan dan berdekatan kanak-kanak atau warga emas.

"Sepatutnya mereka faham itu adalah amalan pentingkan diri serta melanggar undang-undang. Penguat kuasa saya (KKM) tidak cukup untuk ke setiap kedai makan dan beri kompaun kepada mereka yang masih degil ini, tidak mungkin kita akan buat operasi ini sampai bila-bila," katanya.

Khairy mengakui, penguatkuasaan akta baharu itu nanti akan menjadi cabaran kepada pihaknya, terutama jika generasi lahir selepas 2005 meminta pertolongan mereka yang lebih dewasa untuk membelikan produk tembakau berkenaan.

"Tiada apa yang boleh memberhentikan mereka (individu lahir selepas 2005) meminta orang lebih dewasa membeli rokok. Namun, saya rasa ini (akta baharu) adalah langkah pertama ke arah kita menamatkan (kegiatan merokok) kepada satu generasi yang akan menjadi generasi penamat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemberian secara terus aplikasi MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd dibuat berikutan kesinambungan kepada kontrak sedia ada.

"Ini kerana MySJ Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi berkenaan sejak awal dan mereka memberi perkhidmatan perisian. Kita cuma sambung perkhidmatan mereka dalam tempoh yang akan dimuktamadkan nanti.

"Buat masa ini, MySejahtera dimiliki KKM, termasuk segala data yang berada dalam aplikasi itu. Tiada isu keselamatan data kerana ia dikendalikan oleh KKM dan data itu tidak boleh digunakan untuk matlamat yang selain daripada memantau pandemik COVID-19," katanya.

Khairy mengakui banyak pihak cuba meminta data yang terdapat dalam MySejahtera, namun KKM tidak membenarkannya kerana data terbabit hanya boleh digunakan untuk tujuan COVID-19 dan kesihatan awam.

"Saya tidak membenarkan mereka menggunakan data berkenaan untuk tujuan lain," katanya.

Berita Harian X