Sabtu, 26 March 2022 | 10:26am
Siti Mazlina (tengah) dan Haziz (kiri) melihat makanan yang dipamerkan pada Karnival Festival Makanan MAH Negeri Sembilan 2022 sempena Ramadan Al Kareem 1443H di Hotel Pall Mall Seremban. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Siti Mazlina (tengah) dan Haziz (kiri) melihat makanan yang dipamerkan pada Karnival Festival Makanan MAH Negeri Sembilan 2022 sempena Ramadan Al Kareem 1443H di Hotel Pall Mall Seremban. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Harga bufet Ramadan hotel dijangka naik 20 peratus

SEREMBAN: Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan menjangkakan harga bufet Ramadan bagi bulan puasa yang dijangka bermula awal April depan, akan mengalami kenaikan sekitar 20 peratus .

Pengerusinya, Haziz Hassan, berkata ia disebabkan beberapa faktor, termasuk kenaikan harga bahan mentah selain bagi menyerap kos operasi yang meningkat.

"Pengusaha hotel dijangka terpaksa menaikkan sedikit harga bufet Ramadan sekitar 20 peratus kerana harga barang dan bahan mentah yang meningkat selain bagi menyerap kos operasi. Namun, ia dijangka tidak menjejaskan sambutan orang ramai untuk berbuka di hotel.

"Ini kerana kerana kerajaan sudah memansuhkan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai. Keputusan itu memberi kelegaan dalam penawaran bufet Ramadan kali ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Festival Makanan MAH Negeri Sembilan 2022 sempena Ramadan Al Kareem 1443H, di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maizin. Sebanyak 20 hotel mengambil bahagian dalam festival di Hotel Pall Mall, di sini yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Haziz berkata, orang ramai boleh mendapatkan harga bufet Ramadan yang lebih rendah jika membuat tempahan awal sepanjang promosi.

Sementara itu, beliau berkata, MAH Negeri Sembilan menyambut baik fasa peralihan endemik termasuk keputusan membuka sempadan negara bermula 1 April depan dan berharap keputusan itu dapat membantu merancakkan semula sektor perhotelan dan pelancongan tempatan.

"Kami juga bersedia menyambut kehadiran pelancong asing dan berharap sektor pelancongan dapat pulih dengan cepat sebaik pembukaan sempadan," katanya.

Sementara itu, Siti Mazlina berkata, pihaknya akan terus membantu memperkasakan semula sektor pelancongan dan perhotelan di Negeri Sembilan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan berdasarkan sambutan pelancong domestik terutama di Port Dickson, sektor berkenaan diyakini boleh pulih cepat dengan pembukaan sempadan negara.

"Memang kerajaan negeri ada tetapkan sasaran tertentu dalam jumlah kedatangan pelancong tahun ini dan kita yakin ia boleh dicapai kerana Negeri Sembilan antara destinasi tumpuan pelancong," katanya.

Berita Harian X