Jumaat, 25 March 2022 | 4:01pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Akaun Tabung Haji suami culas mungkin dibeku

PUTRAJAYA: Suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah bukan sekadar berdepan tindakan pembekuan akaun bank tetapi juga simpanan dalam Tabung Haji.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Na'im Mokhtar, akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin, pada 28 Mac ini, bagi meneliti bagaimana akaun simpanan Tabung Haji suami atau bekas suami dan bapa dapat dibekukan jika culas dalam pembayaran nafkah kepada tanggungan.

Mohd Na'im berkata, individu terbabit sepatutnya bebas daripada hutang nafkah bekas isteri dan anak ketika menunaikan ibadat haji.

"Tidak bolehlah nak pergi haji dalam keadaan kita berhutang terutama dengan orang yang dekat dengan kita. Kita nak bantu suami dan bapa zalim yang tidak bayar hutang nafkah itu dengan cara menyelesaikannya dahulu.

"Jika mereka ada duit simpanan dalam Tabung Haji, kalau mereka mahu ke Makkah, kena langsaikan dahulu hutang terhadap isteri dan anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media isu tahanan pendapatan dan penghakiman perintah nafkah bersama perintah perceraian secara serentak di sini, hari ini.

Mohd Na'im berkata, ia adalah usaha terkini akan dilaksanakan dengan kerjasama TH bagi membantu isteri dan anak-anak yang mempunyai hak tergantung berikutan kegagalan suami atau bapa melunaskan tanggungjawab masing-masing.

Pada masa depan, pihaknya melihat kemungkinan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyiasat saham dimiliki suami atau bekas suami yang culas.

Katanya, semua tindakan itu akan dilaksanakan satu persatu.

"Pada asasnya, kita mahu membantu bukan sahaja isteri atau bekas isteri dan anak mendapatkan nafkah tetapi juga menyelamatkan suami atau bekas suami,

"Ini bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kerana kita akan disoal berkaitan hutang kita," katanya.

Beliau berkata, ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyentuh perintah cerai dan nafkah serentak dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah baru-baru ini, Perdana Menteri turut menyebut mengenai penahanan pendapatan.

Mohd Na'im berkata, perintah tahanan hiwalah dilaksanakan oleh JKSM dna Mahkamah Syariah sebelum ini, membabitkan akaun simpanan suami atau bapa yang berhutang pembayaran nafkah sebelum diserahkan kepada isteri dan anak-anak.

Sejak tahun lalu, jelasnya, perintah hiwalah yang dikeluarkan mahkamah syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan peruntukan undang-undang berkuat kuasa Februari 2021.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, mana-mana isteri atau bekas isteri dan anak yang mendapat perintah pembayaran nafkah tetapi tidak dilaksanakan suami, bekas suami atau bapa boleh menghubungi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri.

Katanya, pegawai JKSM di BSK akan membantu menjalankan tindakan termasuk menyita dan menahan pendapatan suami atau bekas suami.

Mohd' Na'im berkata, tindakan JKSM dalam isu nafkah turut menjadi rujukan pihak kehakiman syariah Brunei, Singapura dan Indonesia.

Berita Harian X