Khamis, 24 March 2022 | 2:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pindaan hapuskan syak wasangka terhadap institusi beraja mengenai politik

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua negeri dan kerabat masing-masing, dapat menjernihkan persepsi tidak baik bahawa institusi itu cenderung terhadap parti politik tertentu.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) berkata, melalui pindaan itu, institusi Raja-Raja Melayu dan waris masing-masing mesti berkecuali dalam hal ehwal politik.

"Kita semua tahu bahawa amalan kita sejak merdeka sehingga sekarang, Raja-Raja Melayu telahpun menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul iaitu mereka melangkaui politik dan juga berkecuali dalam soal politik. Ia langsung tidak dipertikaikan, cuma ia menjadi satu isu pindaan ini kerana pendaftaran automatik.

"Apabila pendaftaran automatik, mereka yang berdaftar sebagai warganegara, maka sudah tentulah nama mereka dimasukkan dalam pendaftaran pengundi. Saya kira, pindaan ini wajib, perlu dan saya menyokongnya. Tetapi dalam soal berkecuali ini ada prinsip dalam undang-undang boleh kita ikut.

"Iaitu selalunya di mahkamah kita mengatakan `justice must not only be done but must be seen to be done' (keadilan bukan sahaja perlu dilakukan tetapi mesti dilihat dilaksanakan). Jadi kalau kita tak pinda Perlembagaan ini bermakna akan berlaku tanda tanya oleh kerana ia didaftar sebagai pengundi. Adakah raja ini akan mengundi?

"Mereka tidak boleh mengundi. Bagi saya dalam soal berkecuali... neutrality must not be done (berkecuali mesti dilakukan) oleh Raja-Raja Melayu tetapi must be seen to be done (mesti dilihat ia dilaksanakan).

"Dengan pindaan ini maka kita hapuskanlah apa juga syak wasangka yang mungkin ada pada kita," katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony Loke (PH-Seremban) berkata pihaknya menyokong penuh pindaan Perlembagaan ini kerana ia satu daripada perkara yang dipersetujui menerusi rundingan dijalankan bersama Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) dengan PH.

Jelasnya, langkah itu adalah sebahagian daripada agenda Undi18 yang mana PH meletakkan pendaftaran automatik tetapi perlu juga diberikan pengecualian kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaris dengan prinsip Raja Berperlembagaan.

"Kita mahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja melangkaui politik. Itu prinsip yang mesti digunapakai dan juga tidak baik atau tidak elok kalau nama dan juga nombor kad pengenalan, butir-butir Agong serta raja-raja dipaparkan secara umum kepada orang ramai," katanya yang menyokong sepenuhnya pindaan sambil memberi jaminan akan memperoleh sokongan dua pertiga.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) pula berkata semangat kepada pindaan berkenaan tidak pernah mempertikaikan hak Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu untuk mengundi.

Justeru, beliau berasakan tidak timbul isu berbangkit dalam kalangan rakyat sejak negara merdeka lagi.

"Isu tidak pernah berbangkit sama ada Yang di-Pertuan Agong mengundi atau Raja-Raja Melayu mengundi ataupun isteri atau kerabatnya...bukan isu.

"Tetapi apa yang saya faham berdasarkan pindaan ini, kita mahu meletakkan institusi Raja-Raja Melayu melangkaui politik. Hasrat murni ini patut kita sokong supaya institusi raja-raja yang kita nobatkan sebagai pihak yang menjadi payung kepada negara serta rakyat yang dicerminkan melalui Parlimen, berjalan seiring dan pada masa hadapan...ia akan menjadi sebuah institusi yang diperkukuhkan," katanya yang juga menyokong pindaan itu.

Berita Harian X