Khamis, 24 March 2022 | 11:56am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Pembentangan usul IPCC antara sembilan usul ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 untuk bacaan kali kedua ditangguhkan ke persidangan yang akan datang.

Penangguhan itu diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu antara satu daripada sembilan usul yang diumumkan untuk ditangguhkan ke sesi sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Lapan usul yang lain turut ditangguhkan adalah RUU Perhutanan Negara Pindaan 2022, RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah Pindaan 2021, RUU Anti Gangguan Seksual 2021, RUU Undang-Undang Racun Pindaan 2022, RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia Pembubaran 2021, RUU Kawalan Padi dan Beras Pindaan 2022 dan RUU Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pindaan 2022.

Bangkit tidak berpuas hati dengan penangguhan pembentangan RUU IPCC 2020 ke sidang akan datang adalah M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat)yang memohon penjelasan mengenai sebab usul itu perlu ditangguhkan lagi.

Kulasegaran berkata, usul IPCC itu sudah ditunda banyak kali.

"Macam tidak ada hasrat oleh kerajaan untuk membawa pembaharuan polis. Orang ramai tak faham kenapa kerap kali Parlimen bersidang, akta ini ditunda. Apa dia punya asas, saya nak tahu," katanya.

Mohd Rashid berkata, penangguhan usul itu sudahpun dimaklumkan oleh Mas Ermieyati dan ia akan dibawa sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kulasegaran berkata sebelum ini ia juga pernah ditangguhkan dengan alasan sama.

Berita Harian X