Khamis, 24 March 2022 | 11:47am
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP

Tiada kluster baharu COVID-19 direkodkan semalam

PUTRAJAYA: Tiada kluster baharu COVID-19 dikesan setakat semalam sekali gus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negara ini kekal sebanyak 273 kluster.

Kali terakhir negara merekodkan tiada pertambahan kluster baharu pada 14 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini, sebanyak 6,918 kluster sudah dikesan dan daripada jumlah itu sebanyak 6,645 kluster sudah tamat kerana tidak lagi merekodkan pertambahan kes baharu.

Mengulas mengenai situasi COVID-19 di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh kekal melebihi kes baharu di negara ini iaitu sebanyak 26,234 kes pulih dilaporkan.

"Perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 3,771,463 individu sudah pulih daripada jangkitan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes baharu di negara ini, setakat semalam Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat sebanyak 22,491 kes baharu sekali gus meningkatkan jumlah individu yang dijangkiti virus berkenaan adalah sebanyak 4,054,926 kes.

"Kategori paling tinggi yang dikesan di negara ini adalah dalam kalangan pesakit kategori dua iaitu sebanyak 52.13 peratus atau 11,725 kes, diikuti kategori satu (10,601 kes), kategori tiga (71 kes), kategori lima (50) dan kategori empat (44 kes).

"Secara keseluruhannya 165 pesakit dalam kategori tiga hingga lima itu dan terdapat 99 kes membabitkan individu berusia 60 tahun, mempunyai komorbid (98 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (71 kes) dan sudah menerima dos penggalak (51 kes).

"Kes yang dikesan semalam turut membabitkan 43 kes individu yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin dan dua kes ibu mengandung," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 332 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 141 kes disahkan COVID-19 dengan 191 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat semalam terdapat sebanyak 189 kes iaitu 84 kes disahkan COVID-19 dengan 105 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, mengenai kapasiti katil ICU di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima negeri mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus dan Putrajaya menjadi paling tinggi penggunaan fasiliti itu yang mencecah 100 peratus.

Negeri lain ialah Kuala Lumpur dengan penggunaan kini sebanyak 67 peratus, Johor (59 peratus), Selangor (57 peratus) dan Kelantan (52 peratus) manakala tiada negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

"Selain itu bagi penggunaan katil bukan ICU, sehingga semalam terdapat lapan negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu di Selangor sebanyak 80 peratus, Terengganu (75 peratus), Putrajaya (67 peratus), Melaka (62 peratus), Perak (57 peratus), Sarawak (56 peratus), Negeri Sembilan (55 peratus) dan Perlis (52 peratus)," katanya.

Berita Harian X