Rabu, 23 March 2022 | 3:41pm
ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan TERAJU Bumiputera Corporation (TERAJU) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kesedaran lebih tinggi mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). - Foto hiasan NSTP
ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan TERAJU Bumiputera Corporation (TERAJU) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kesedaran lebih tinggi mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). - Foto hiasan NSTP

ProtectHealth, TERAJU meterai MoU perluas PeKa B40

KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan TERAJU Bumiputera Corporation (TERAJU) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kesedaran lebih tinggi mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata melalui kerjasama itu, pihaknya fokus untuk membawa PeKa B40 lebih dekat dan memperluas aksesnya kepada masyarakat di seluruh negara.

"Kejayaan program PeKa B40 terbukti apabila pendekatan 'whole-of-government' dan 'whole-of-society' Malaysia membuahkan hasil. Kami akan terus membabitkan diri dengan pihak berkepentingan utama lain untuk memastikan tiada yang tertinggal dalam kalangan masyarakat Malaysia mendapatkan apa juga manfaat disediakan.

"Insya-Allah ini juga akan membuka jalan untuk bekerjasama dengan TERAJU dalam bidang strategik lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu bertujuan memberi platform kepada TERAJU mengenal pasti klinik yang akan menyertai program berkenaan, bagi meningkatkan jangkauan kepada komuniti Bumiputera kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di seluruh negara.

ProtectHealth pula adalah pentadbir skim penjagaan kesihatan PeKa B40, inisiatif bagi menangani trend penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah dengan matlamat utamanya untuk pengesanan dan intervensi awal NCD.

Melalui program PeKa B40, penerima yang layak boleh mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan percuma, insentif melengkapkan rawatan kanser serta insentif tambang pengangkutan.

Lebih 567,956 orang daripada kumpulan B40 sudah disaring di bawah PeKa B40 namun seramai 5.9 juta lagi yang layak belum menyertai program berkenaan.

Dr Anas berkata, sangat penting bagi orang ramai sentiasa mengetahui keadaan kesihatan dengan menjalani pemeriksaan secara berkala, terutamanya ketika pandemik, selain ramai yang dijangkiti COVID-19 tidak mengetahui mereka menghidap penyakit itu.

"Jangan kita lupa walaupun kita sedang memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, antara isu utama dan berterusan dalam kalangan masyarakat adalah dalam memupuk tingkah laku mencari kesihatan dan mengekalkan gaya hidup sihat.

"Kerjasama strategik antara ProtectHealth dan TERAJU ini juga bertindak sebagai pemangkin dalam memacu negara ke arah kehidupan lebih sihat. NCD sentiasa menjadi antara ketakutan terbesar dalam masyarakat, dan program PeKa B40 akan menggalakkan pengesanan dan intervensi awal," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, menyifatkan MoU itu sebagai contoh terbaik dengan sistem penyampaian kerajaan dapat diperluas kepada semua lapisan melalui ekosistem TERAJU kepada komuniti B40 Bumiputera yang kurang berkemampuan.

"Di Sabah sahaja, program PeKA B40 ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 Bumiputera di beberapa daerah di wilayah ini manakala di Sarawak pula, dianggarkan seramai 480,000 orang bakal mendapat manfaat dari program ini.

"TERAJU akan terus memberi penekanan kepada inisiatif keselamatan sosial ini ke negeri lain dan menjadikannya sebahagian dari program libat urus kami selaku agensi penyelaras utama di samping membantu meningkatkan status ekonomi Bumiputera," katanya.

Berita Harian X