Rabu, 23 March 2022 | 12:16pm
Kes sembuh daripada COVID-19 sekali lagi melebihi kes baharu dengan 32,561 kes dilaporkan setakat semalam. - Foto hiasan NSTP
Kes sembuh daripada COVID-19 sekali lagi melebihi kes baharu dengan 32,561 kes dilaporkan setakat semalam. - Foto hiasan NSTP

Kes sembuh lepasi jangkitan COVID-19

PUTRAJAYA: Kes sembuh daripada COVID-19 sekali lagi melebihi kes baharu dengan 32,561 kes dilaporkan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 3,745,229 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes baharu dicatatkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21,483 kes baharu dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah individu yang dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,032,435 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 21,089 kes adalah penularan tempatan dengan 394 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes yang dikesan semalam itu paling tinggi membabitkan pesakit dalam kategori dua iaitu 10,862 kes diikuti kategori pertama (10,455 kes), kategori lima (63 kes), kategori tiga (57 kes) dan kategori empat (46 kes)," katanya.

Secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham memaklumkan 166 kes COVID-19 dalam kategori tiga hingga lima, ia membabitkan 96 kes individu yang mempunyai komorbid serta berusia 60 tahun ke atas (91 kes).

"Selain itu ialah kes individu sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (64 kes), masing-masing 51 kes membabitkan individu tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin, sudah menerima dos penggalak serta dua kes membabitkan ibu mengandung," katanya.

Sehingga kini terdapat 339 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 150 kes disahkan COVID-19 serta 189 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 209 kes iaitu 86 kes disahkan COVID-19 serta 123 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster masih aktif di negara ini meningkat kepada 284 kluster.

Berita Harian X