Selasa, 22 March 2022 | 6:20pm
(Gambar fail) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid. - FOTO BERNAMA

Lebih 87,000 pesara awam tergolong miskin tegar

KUALA LUMPUR: Hampir 10 peratus atau lebih 87,000 daripada jumlah keseluruhan pesara penjawat awam, tergolong dalam kategori miskin tegar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata bagi menentukan pesara terbabit dikategorikan sebagai miskin tegar, ia mengambil kira tempoh perkhidmatan pegawai selama 25 tahun.

Beliau berkata, ia bagi melayakkan pesara menerima kadar pencen terendah sebanyak RM1,000.

"Sebanyak 9.85 peratus daripada 886,458 pesara adalah dikategorikan sebagai miskin tegar, iaitu seramai 87,370 pesara.

"Memang perjuangan untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini sangat dekat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Insya-Allah, kita akan melihat perkara ini semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ditanya mengenai pemberian 'ex-gratia' kepada anggota bomba lain yang terkorban ketika bertugas pula, Mastura menjelaskan, beliau tidak boleh menjawab soalan itu kerana ia bukan bawah bidangnya tetapi bawah Kementerian Kewangan.

Soalan itu susulan pengumuman Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini bahawa kerajaan sudah membayar 'ex-gratia' berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, pada 29 November tahun lalu.

Berita Harian X