Selasa, 22 March 2022 | 5:46pm
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. - Foto NSTP
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. - Foto NSTP

Beku akaun lelaki ingkar bayar nafkah langkah tepat

KOTA SAMARAHAN : Sarawak menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan untuk membekukan akaun bank lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri selepas berlaku perceraian antara mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata langkah itu tepat kerana ia akan menjamin kebajikan wanita yang perlu menjaga anak mereka selepas bercerai.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan segera kerana terdapat kes bekas suami ingkar perintah mahkamah agar membayar nafkah bulanan kepada bekas isteri.

"Masalah ini biasanya membabitkan wanita yang mempunyai bekas suami yang tidak bekerja di sektor kerajaan.

"Jika bekas suami adalah penjawat awam, arahan pemotongan gaji boleh dibuat untuk membayar nafkah kepada bekas isterinya

tetapi jika bukan penjawat awam, pembayarannya tidak konsisten malah ada yang tidak bayar langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pengumuman Perdana Menteri itu memang amat dinantikan bagi menjaga kebajikan wanita yang diceraikan.

"Ada wanita yang diceraikan itu perlu menjaga anak mereka yang masih kecil dan mereka menghadapi masalah apabila bekas suami ingkar perintah mahkamah.

"Ini akan menyebabkan wanita serta anaknya menderita," katanya.

Beliau berkata, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan, nafkah tetap menjadi tanggungjawab bekas suami sebagai bapa untuk menyediakan sokongan kewangan kepada anaknya.

Berita Harian X