Isnin, 21 March 2022 | 5:07pm
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - FOTO NSTP/ SADDAM YUSOFF
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - FOTO NSTP/ SADDAM YUSOFF

Kaji kesan negatif beku akaun individu ingkar bayar nafkah bekas isteri

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memperhalusi terlebih dahulu sebelum melaksanakan tindakan pembekuan akaun bank mana-mana individu yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata tindakan itu bagi mengelak daripada memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Ini kerana, katanya sekiranya keseluruhan akaun bekas suami dibekukan, sukar untuknya mengeluarkan wang dan ini akan menjejaskan individu terbabit terutama kepada mereka yang sudah mempunyai keluarga baharu untuk ditanggung.

"Bagi bekas suami yang belum berkeluarga, mungkin dia masih perlu menjaga ibu bapa yang sudah uzur dan ini sudah tentu memberi kesan kepadanya.

"Jadi saya fikir lebih baik jika tidak bekukan akaun bank berkenaan, sebaliknya diberikan kuasa untuk dibuat penolakan amaun tertentu kepada bekas isteri yang membuat tuntutan," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, pelaksanaan pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri dijangka dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi berkaitan berkenaan usaha itu.

Ditanya sama ada terdapat kekangan untuk melaksanakan pembekuan akaun, Zainul Rijal berkata, tindakan itu perlu melalui proses undang-undang.

Namun bagi kakitangan awam, katanya tiada masalah di pihak kerajaan untuk melakukan penolakan gaji dan bukan tindakan membekukan akaun.

"Maksudnya jika perintah mahkamah menetapkan jumlah sedemikian, kerajaan akan membuat penolakan daripada gaji untuk diberikan kepada bekas isteri.

"Berbeza dengan pembekuan akaun, perlu ada pindaan akta tertentu bagi memberikan kuasa kepada institusi kewangan untuk membuat tolakan, baru boleh dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya untuk membuat penolakan terbabit tidak memerlukan akta baharu digubal, sebaliknya cuma perlu meminda akta sedia ada seperti Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang dapat memberikan kuasa kepada institusi kewangan untuk melakukan penolakan.

Ends

Berita Harian X