Isnin, 21 March 2022 | 2:30pm
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari

'Beri cuti edah 30 hari kepada pekerja wanita kehilangan suami'

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperuntukkan cuti edah selama 30 hari kepada pekerja wanita yang kehilangan suami, berbanding hanya tiga hari ketika ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, cuti tiga hari yang diperuntukkan ketika ini tidak mencukupi untuk wanita yang kematian suami, menguruskan kehidupan dan emosi.

"Sebelum ini, pekerja wanita yang bersalin diberi cuti (panjang), tetapi jika kematian suami, mereka hanya diberi cuti tiga hari untuk pengurusan emosi dan menyesuaikan diri dengan edah yang diperkenalkan dalam Islam.

"Jadi, adakah kerajaan akan memperkenalkan cuti edah (tambahan) sehingga 30 hari untuk membolehkan golongan isteri ini menguruskan emosi selepas mereka kematian suami," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menggesa pindaan Akta Kerja 1955 itu menaikkan cuti bersalin untuk suami kepada tujuh hari, berbanding hanga tiga hari yang diperuntukkan dalam RUU berkenaan.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia wajar mempertimbangkan untuk memberikan cuti tujuh hari itu secara tidak berturut, sekali gus membolehkan suami mengambil cuti bersalin mengikut kesesuaian keadaan ketika menjaga isteri dan anak.

"Contohnya, tiga hari pertama mungkin diberi cuti secara berturut, dan baki empat hari lagi adalah secara tidak berturut dalam tempoh 90 hari selepas isteri melahirkan anak," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menggesa RUU itu memberi jaminan kepada pekerja wanita beragama Islam untuk memakai tudung di tempat kerja dan kerajaan perlu mengambil tindakan jika ada majikan melarang perkara itu.

"Contohnya, dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines, adakah pramugari dibenarkan untuk bertudung?

"Kita tidaklah mahu mewajibkan bertudung, tetapi kita nak beri hak kepada wanita beragama Islam untuk dibenarkan bertudung, dan jika ada lagi syarikat atau majikan yang melarang pekerja bertudung, ia jelas melanggar akta dan kerajaan perlu bertindak," katanya.

Berita Harian X