Isnin, 21 March 2022 | 12:33pm

Kes bunuh, bakar: Pengawal keselamatan disambung reman

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang ditahan berkaitan kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pada 12 Mac lalu, disambung reman enam hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata sambungan reman suspek berusia 34 tahun itu dibuat selepas remannya selama tujuh hari sebelum ini tamat pada Sabtu lalu.

"Suspek disambung reman selama enam hari bermula semalam hingga 25 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan kes sudah 95 peratus selesai dan ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini atau esok untuk arahan tuduh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan 37 individu untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Kami masih menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun ditemui rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, Sabtu lalu.

Muhammad Idzam dilaporkan berkata, cubaan merogol mangsa dipercayai menjadi motif wanita itu yang juga penyelia kedai buku dibunuh sebelum mayatnya dibakar di lokasi kejadian.

Berita Harian X