Isnin, 21 March 2022 | 11:00am
Pengeluaran Khas RM10,000 caruman KWSP hanya memberi kesan jangka pendek kepada kemampuan pelaburan organisasi berkenaan. - Foto hiasan
Pengeluaran Khas RM10,000 caruman KWSP hanya memberi kesan jangka pendek kepada kemampuan pelaburan organisasi berkenaan. - Foto hiasan

Pengeluaran Khas RM10,000 KWSP hanya beri kesan pelaburan jangka pendek

KUALA LUMPUR: Pengeluaran Khas RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya memberi kesan jangka pendek kepada kemampuan pelaburan organisasi berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Shahar Abdullah, berkata KWSP akan mengimbangi portfolio bagi mengatasi kesan prestasi pelaburannya.

Katanya, KWSP juga akan memastikan dana persaraan seramai 6.3 juta ahlinya terjamin.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Shahar Abdullah menjawab soalan mengenai pertumbuhan ekonomi negara dan soalan tambahan pengeluaran khas KWSP. - Ihsan TV Parlimen
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Shahar Abdullah menjawab soalan mengenai pertumbuhan ekonomi negara dan soalan tambahan pengeluaran khas KWSP. - Ihsan TV Parlimen

"Dengan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang KWSP, ini bermakna RM6.3 bilion akan disalurkan dan ini sudah pasti memberi kesan kepada kuasa beli rakyat," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai kesan pengeluaran khas KWSP yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang, Shahar berkata, bagi 2021, kerajaan sudah menyemak semula anggaran defisit fiskal daripada 5.4 peratus kepada 6.5 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan penularan varian baharu COVID-19.

Katanya, kerajaan juga menyemak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penyediaan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan.

"Namun, berikutan prestasi kutipan hasil pada suku keempat yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi, defisit fiskal 2021 telah mencatat 6.4 peratus kepada KDNK.

"Bagi 2022, kerajaan menyasarkan defisit fiskal lebih rendah pada paras enam peratus kepada KDNK.

"Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Disember 2021 mencatat RM979.8 bilion atau 63.4 peratus daripada KDNK manakala, nisbah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 59.7 peratus daripada KDNK.

"Angka ini masih bawah had 65 peratus KDNK yang ditetapkan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021," katanya.

Berita Harian X