Ahad, 20 March 2022 | 3:18pm
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Terus giat usaha martabat bahasa kebangsaan - MPM

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) berharap sikap negatif dan pesimis terhadap keupayaan bahasa Melayu wajib dihakis dan diganti dengan usaha berganda demi mengangkat semula kegemilangan bahasa kebangsaan di seluruh dunia.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata penguasaan bahasa asing diakui satu keperluan dan bonus berharga, tetapi era untuk mengagung-agungkan bahasa lain di negara sendiri sepatutnya sudah berakhir lama.

"Ia ibarat bahasa Melayu dijunjung dan bahasa lain dikendong. Lebih 60 tahun negara ini berusaha mendidik rakyat dan pemimpin menghormati bahasa kebangsaan, ia sudah lebih daripada mencukupi.

"Ini masa paling sesuai untuk memulakan langkah drastik bagi menuju kejayaan gemilang bagi memartabat bahasa kebangsaan kita," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BH semalam melaporkan kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 supaya mana-mana pelanggaran bahasa Melayu termasuk pada peringkat daerah akan diambil tindakan oleh DBP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) berkata, sudah tiba masanya rakyat perlu berbangga menggunakan bahasa Melayu, walaupun di pentas antarabangsa kerana 'Bahasa Jiwa Bangsa'.

Mengulas lanjut, Kamal Shukri berkata, MPM menyambut baik usaha meminda segera beberapa Akta DBP 1959 supaya usaha DBP dan kerajaan berkaitan pendaulatan bahasa Melayu akan lebih berkesan berbanding sekarang.

Katanya, pindaan akta perlu kerana bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, sepatutnya sudah lama didaulatkan dalam setiap majlis rasmi negara sama ada di peringkat daerah, kebangsaan atau antarabangsa termasuk ASEAN.

"Negara lain seperti China, Jerman, Russia, Sepanyol, Korea, England, Amerika dan Jepun mengagungkan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi serta bahasa ilmu, ia boleh dijadikan penanda aras terbaik untuk dicapai negara kita.

"Melalui pindaan akta ini, difahamkan DBP boleh mengambil tindakan tertentu kepada organisasi termasuk pemimpin yang tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam majlis rasmi.

"Kegagalan menghayati dan menghormati bahasa kebangsaan sewajarnya disusuli dengan tindakan lebih tegas melalui undang-undang oleh DBP terhadap mereka terbabit.

"Dengan pindaan itu juga, urusan DBP akan lebih lancar dan berkesan dalam usahanya merealisasikan visi, misi serta perancangan memartabatkan, menyebar, memperkukuh bahasa Melayu sebagai komunikasi rasmi atau bahasa ilmu yang terbantut selama ini," katanya.

Berita Harian X