Sabtu, 19 March 2022 | 6:14pm

Beku akaun lelaki ingkar lunas nafkah bekas isteri

KUALA LUMPUR: Akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.

Selain itu, katanya, kerajaan akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita.

"Apabila kes mahkamah dimenangi oleh wanita dalam tuntutan nafkah, sukar untuk mendapatkan (bekas) suami membayar. Mereka ingkar perintah mahkamah.

"Bagi menjaga kepentingan wanita, kita membuat keputusan supaya bank-bank suami akan membekukan akaun mereka (jika ingkar daripada membayar nafkah).

"Apabila kita bekukan dan jika sudah mendapat award atau perintah mahkamah, contohnya bayaran RM1,000 sebulan, kita akan mengarahkan bank supaya membayar terus kepada isteri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pentadbirannya juga sudah melakukan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan golongan wanita dan anak muda.

Antaranya, kata Perdana Menteri, enam inisiatif diumumkan sempena sambutan Hari Wanita 2022 bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa.

"Sebagai contoh, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu dalam edah.

"Kita boleh bayangkan isteri yang kematian suami, bergelut dengan anak dan sebagainya tetapi terpaksa bekerja.

"Bagi menjaga dan menghargai peranan wanita, kita beri mereka bekerja di rumah sehingga tamat edah," katanya.

 - Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X