Sabtu, 19 March 2022 | 3:19pm

Pemain industri pelancongan sudah bersedia terima pelancong asing

KUCHING: Pemain industri pelancongan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran dua juta pelancong asing yang disasarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) apabila sempadan negara dibuka semula bermula 1 April ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata beliau sudah lama memberi penekanan kepada semua pemain industri agar membuat persediaan kerana sektor pelancongan dijangka pulih apabila negara memasuki fasa endemik COVID-19.

Katanya, dengan persediaan yang sudah dilaksanakan setakat ini, beliau amat yakin sasaran kehadiran dua juta pelancong asing tahun ini yang dijangka memberi pulangan kira-kira RM6.8 bilion akan dapat dicapai.

"MOTAC merangka strategi dengan menggunakan pendekatan khusus untuk mencapai sasaran dua juta pelancong asing itu antaranya menganjurkan acara perniagaan antarabangsa yang pastinya akan membawa ramai pengunjung dari luar negara.

"Alhamdulillah, di Dubai dua minggu lalu kita berjaya membida untuk membawa satu acara perniagaan ke Malaysia dan seramai 7,000 pelancong luar negara dijangka menghadiri acara itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2 Julai depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) Sarawak, di sini, hari ini.

Nancy berkata, penganjuran acara perniagaan itu menjadi strategi terbaik untuk menggandakan jumlah kehadiran pelancong asing.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pelancong asing yang biasa sahaja tetapi harus menggandakannya dengan mengadakan acara perniagaan kerana menerusi penganjurannya, pelancong akan datang serentak dalam jumlah yang ramai sepanjang tarikh acara berkenaan diadakan," katanya.

Selain menarik seramai mungkin pelancong asing, beliau berkata, usaha perlu digandakan bagi mempelbagaikan produk baharu untuk menarik pelancong domestik mengunjungi destinasi menarik dalam negara.

Katanya, pada 2019 pelancong domestik menyumbang perolehan sebanyak RM103 bilion dalam industri pelancongan negara.

"Tahun ini MOTAC mensasarkan peningkatan 60 peratus daripada jumlah yang diperolehi daripada pelancong domestik pada 2019 itu.

"Kita optimis pelancong domestik akan merancakkan semula industri pelancongan kita dan kita perlu meningkatkan infrastruktur di lokasi tumpuan seperti di kawasan luar bandar yang ada air terjun, kita perlu menyediakan kemudahan tempat letak kereta kerana biasanya tempat tumpuan di luar bandar itu terletak atas tanah milik persendirian," katanya.

Nancy berkata, penyediaan infrastruktur yang lebih baik itu perlu kerana trend pelancong domestik ketika ini sudah berbeza apabila ramai yang memilih eko pelancongan dengan mengunjungi tempat terpencil bagi mengetahui sejarah serta budaya sesuatu tempat itu.

"Eko pelancongan seperti meredah denai hutan, mendaki serta mengunjungi air tejun kini menjadi pilihan pelancong domestik khususnya golongan muda.

"Malah ramai juga yang kini cenderung melancong dengan keluarga yang bergerak dalam kumpulan kecil kerana mereka mengelak untuk bergerak dalam kumpulan besar berikutan kebimbangan terhadap penularan COVID-19 masih ada," katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri, merasmikan Majlis Perasmian Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) Cawangan Sarawak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Lot 3057, Jalan Stadium, Petra Jaya, dan melawat gerai pameran. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri, merasmikan Majlis Perasmian Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) Cawangan Sarawak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Lot 3057, Jalan Stadium, Petra Jaya, dan melawat gerai pameran. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X