Sabtu, 19 March 2022 | 11:38am
Senator Datuk Dr Azhar Ahmad.
Senator Datuk Dr Azhar Ahmad.

PAU 2021: UMNO, BN perlu bergerak solo tanding PRU-15

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu kekal bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Perwakilan Perak, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, berkata ketetapan berkenaan dan pendirian 'No Anwar, No DAP dan No BERSATU' adalah kerana UMNO dan BN perlu menjadi dominan.

"Kita mahu jadi dominan sebab mana-mana parti yang tidak jadi dominan, maka tidak akan ada kestabilan. Ini (PRU) adalah ibu segala peperangan dalam politik. Mahu masuk berperang ini, kita mesti bersedia. Bukan cakap saja, bukan boleh sorak mengelupur saja.

"Macam Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) sebut, mesti berstrategi, berstrategi mesti ada kerahsiaan," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Beliau turut menggesa ahli dan pemimpin UMNO menghormati institusi Presiden UMNO dan Perdana Menteri kerana ia lambang keutuhan kepada sesebuah institusi dan kerajaan.

"Institusi presiden mesti dihormati dan dijaga. Kita hormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan atas nama Ahmad Zahid, tetapi kita hormat institusi presidennya. Samalah juga Perdana Menteri, bukan atas nama (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob), dia tidak ada apa-apa, tapi dia menanggung satu amanah besar.

"Perdana Meneri yang mesti dihormati bukan saja namanya Ismail Sabri," katanya turut menyarankan UMNO segera menubuhkan sekolah politik sendiri seperti dilaksanakan DAP dan PAS bagi menarik sokongan generasi muda kepada parti.

Katanya, sekolah itu perlu melatih kalangan anak muda bermula usia 16 dan 17 tahun serta mendidik mereka mengenai perjuangan dan pembinaan negara bangsa.

"Sekolah politik mesti dilaksana dengan kadar yang sangat segera. Ini untuk melatih anak-anak muda berumur 16 dan 17 tahun. Kita mahu orang muda sokong kita, mereka mesti diajar politik sebab Socrates (ahli falsafah Yunani) kata, politik ini bagaimana menguruskan kehidupan.

"UMNO tak ada sekolah politik. DAP dan PAS ada sekolah politik. UMNO tak ada sekolah politik kerana UMNO menggangap mereka menjadi kerajaan selama-lamanya. Jadi, kita merasakan tak perlu sekolah politik ini," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas, berkata perjuangan politik bukan saja menyentuh mengenai parti politik semata-mata, sebaliknya ia juga berkait aspek ekonomi dan pekerjaan.

Berita Harian X