Jumaat, 18 March 2022 | 6:13pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Solat jemaah di Pulau Pinang mungkin guna SOP Pusat

GEORGETOWN: Pulau Pinang mungkin menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) akan membuat ketetapan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, segala perbincangan secara tidak rasmi sahaja dan JAINPP akan memaklumkannya dalam masa terdekat. Kita (Pulau Pinang) mungkin akan guna pakai SOP di peringkat Pusat pada keseluruhannya supaya mudah untuk diselaraskan, sekali gus tidak menimbulkan kekeliruan orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembah­yang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini. Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid, surau ia tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.

Kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta SOP bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Berita Harian X