Jumaat, 18 March 2022 | 3:38pm
Dari kiri, Dr Puteh Noraihan A Rahman, Norhana Salashar Basharuddin dan Mohd Shiful Hisham
Dari kiri, Dr Puteh Noraihan A Rahman, Norhana Salashar Basharuddin dan Mohd Shiful Hisham

Aktiviti sukan, kokurikulum elak tumpuan murid kepada gajet

KUALA LUMPUR: Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah yang dibenarkan semula bermula Isnin ini, akan membawa impak positif kepada murid, terutama selepas terlalu lama 'terkepung' dengan sesi pembelajaran secara dalam talian selama dua tahun akibat penularan COVID-19.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian CITRA Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Puteh Noraihan A Rahman, berkata langkah itu tepat terutama ketika negara berada dalam fasa peralihan endemik mulai 1 April ini.

Sebagai ibu, katanya, beliau dapat melihat kesan baik aktiviti sukan kepada anak-anaknya yang akan bersekolah dalam Tahun Tiga dan Lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam, Bandar Baru Bangi.

"Aktiviti mengeluarkan peluh akan menggalakkan penghasilan endorfin, iaitu hormon yang akan menggalakkan perasaan positif dan gembira. Jadi secara automatik ia akan menjadikan murid lebih cerdas belajar selain memberi impak positif kepada kemahiran sosial mereka.

"Saya percaya guru akan memikirkan cara terbaik dan kreatif menjalankan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dipatuhi.

"Sebagai ibu, saya yakin dengan pihak sekolah terutama apabila melihat pematuhan mereka kepada SOP ketika kes positif dikesan," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 bagi memberi peluang kepada murid dan guru membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik.

Langkah itu satu perubahan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) memasuki sesi akademik baharu secara bersemuka, bermula Isnin ini. Jun tahun lalu, KPM menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan dibenarkan di sekolah susulan pandemik COVID-19.

Bapa kepada murid Tahun Satu, Tiga dan Enam, Mohd Shiful Hisham, juga menyokong penuh pendekatan dilaksanakan KPM, tetapi pada masa sama mahu aktiviti itu dipastikan dengan SOP ketat, terutamanya bagi murid yang baru memasuki alam persekolahan.

Bagi pelajar di Tahap 2, katanya, kebanyakannya sudah terbiasa dengan SOP serta norma baharu di sekolah sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada penghujung 2019.

"Cuma kerisauan saya ialah pelajar Tahun 1. Pihak sekolah dan guru perlu pastikan SOP dipatuhi murid supaya mereka tidak berhimpit-himpit dan menjaga penjarakan fizikal ketika bersukan.

"Saya difahamkan tiada penggiliran lagi untuk murid Tahun 1 dan Tahun 6 selepas ini. Bagaimana SOP KPM untuk aktiviti sukan terutama bagi kelas mempunyai ramai pelajar," katanya.

Bagi Nor Syafawati Mohd Zuki, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum luar bilik darjah akan 'melarikan' tumpuan murid daripada penggunaan berlebihan telefon pintar dan komputer riba disebabkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.

Ibu tiga anak, masing-masing murid Tahun 1, 2 dan 5 itu, berkata ia juga langkah terbaik bagi memastikan masyarakat tidak gusar untuk menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini.

"Aktiviti ini boleh elak murid asyik menghadap gajet yang akan membawa pengaruh tidak baik. Biarlah mereka bersukan dan terdedah kepada alam semulajadi melalui aktiviti luar bilik darjah. Bukan saja ia baik untuk kesihatan murid malah dapat membina semula ikatan antara mereka dan guru," katanya.

Mengenai pematuhan SOP bagi aktiviti itu, beliau tidak mempunyai kerisauan kerana berdasarkan pemerhatian, SOP di dalam kawasan sekolah dilaksanakan dengan baik selama ini melalui pengawasan guru, kecuali selepas selesai persekolahan dan di luar sekolah apabila ibu bapa berebut-rebut ketika mengambil anak-anak.

Norhana Salashar Basharuddin, ibu kepada murid Tahun 1, 4 dan 6, mahu semua pihak mematuhi SOP demi melindungi diri daripada COVID-19 selain memastikan dapat kembali menjalani kehidupan normal.

"Bagi saya semuanya berbalik kepada pematuhan SOP. Kita pun sudah berada dalam fasa peralihan endemik jadi sampai bila (murid) nak terperap dan berdepan kekangan. Aktiviti bersukan sememangnya penting untuk murid, tambahan lagi mereka sudah terlalu lama menjalani PDPR sebelum ini" katanya.

Berita Harian X