Khamis, 17 March 2022 | 11:24pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA

Guru terbabit sukan, kokurikulum bersemuka di sekolah perlu lengkap vaksinasi

KUALA LUMPUR: Guru, jurulatih atau tenaga pengajar yang terbabit dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dengan pelajar di kawasan sekolah, mulai Isnin ini, hendaklah lengkap vaksinasi COVID-19.

Perkara itu ditetapkan susulan Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pelaksanaan semula aktiviti sukan dan kokurikulum membabitkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah, mulai sesi akademik 2022/2023.

KPM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata ia adalah antara beberapa penambahbaikan dibuat ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan serta kokurikulum dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

"KPM turut membenarkan penganjuran aktiviti, pertandingan atau kejohanan sukan dan kokurikulum, namun pelaksanaannya terhad di dalam kawasan sekolah dan membabitkan murid, guru, jurulatih atau pengajar sekolah berkenaan sahaja.

"Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang membabitkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran KPM.

"Dalam hal ini, KPM berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti atau pertandingan sukan dan kokurikulum jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan KPM," menurut kenyataan itu.

KPM turut menegaskan, semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah hendaklah mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum serta Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan

negeri," katanya.

Annex berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan https://www.moe.gov.my/muat-turun/kenyataan-media/km2022/5084-annex-suka....

Berita Harian X