Khamis, 17 March 2022 | 9:21pm
(Gambar fail) Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Rais sambut baik cadangan pemeriksaan kesihatan ahli Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan ahli Dewan Negara menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurang setahun sekali, disambut baik Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa Rais menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bagi membincangkan cadangan itu, di Bangunan Parlimen, hari ini.

"Cadangan ini dikemukakan Khairy rentetan kajian yang dibuat dari Julai 2018 hingga November 2020 melaporkan, kes penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin meningkat, terutama penyakit jantung, darah tinggi dan kanser.

"Demi memastikan anggota Dewan Negara sentiasa dalam keadaan sihat fizikal dan mental, saranan untuk mewajibkan saringan kesihatan secara berkala itu amat disambut baik," menurut kenyataan itu, hari ini.

Rais turut mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan itu dipanjangkan kepada Ahli Dewan Rakyat, demi memastikan elemen Kepimpinan Melalui Teladan dapat direalisasikan, dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Dalam pertemuan itu, Khairy memaklumkan setakat hari ini, hanya kira-kira 400,000 daripada 4.9 juta rakyat, telah menjalani saringan kesihatan secara percuma dalam program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Justeru, beliau mencadangkan semua Ahli Parlimen, terutama berumur 40 tahun ke atas, wajib menjalani saringan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa dipantau.

"Cadangan itu juga akan dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam yang berumur 40 tahun ke atas, untuk diwajibkan membuat saringan kesihatan, sama dengan kewajipan mereka untuk mengisytiharkan harta," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Khairy turut memaklumkan Bulan Pemeriksaan Kesihatan (BPKM) akan dilaksanakan di seluruh negara bermula Julai depan, dengan menyasarkan seramai 1.5 juta orang yang berisiko tinggi menghidap NCD. – BERNAMA

Berita Harian X