Khamis, 17 March 2022 | 2:14pm
Datuk Aidi Ismail (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis di Dewan Sultan Ibrahim UTHM. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN
Datuk Aidi Ismail (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis di Dewan Sultan Ibrahim UTHM. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN

Polis tambah pegawai, anggota kawal sempadan

BATU PAHAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah jumlah pegawai dan anggota polis di semua sempadan negara bagi mengawal kemasukan pengembara ke Malaysia mulai 1 April ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail, berkata langkah itu bertujuan memastikan pengembara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Malaysia

"JPJKK akan sentiasa berhubung dengan jabatan lain, termasuk Bukit Aman bagi memastikan penguatkuasaan SOP dapat dilaksanakan.

"Apabila pintu masuk negara dibuka, ramai pelancong atau pengembara yang akan datang masuk dan mereka perlu mematuhi SOP, seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis di Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), dekat sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis menggalakkan pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadikan bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

Katanya, dengan latihan dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh tiga tahun latihan, pelatih Kor SUKSIS adalah antara calon terbaik untuk menyertai pasukan keselamatan negara itu.

"Pelatih berkenaan juga akan diberikan keutamaan ketika pemilihan untuk memasuki pasukan polis dan perlu memohon dalam tawaran untuk jawatan inspektor polis yang dibuka pada setiap tahun.

"Dengan latar belakang dan latihan mereka ketika di universiti menjadikan itu satu kelebihan kepada mereka terutamanya dalam bidang fizikal dan pengetahuan kepolisan," katanya.

Terdahulu, seramai 102 orang pelatih UTHM dan UTM tamat latihan, yang melayakkan mereka menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis.

Berita Harian X