Khamis, 17 March 2022 | 11:32am
Keadaan sawah padi milik penduduk Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan, yang rosak akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Keadaan sawah padi milik penduduk Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan, yang rosak akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

'Tolong dengar suara pesawah'

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa kerajaan, wakil rakyat dan parti politik supaya lebih cakna serta berusaha memahami permasalahan dihadapi golongan pesawah negara ini.

Pengerusinya, Fuad Yaakob, berkata pihaknya kecewa dengan segala tohmahan kononnya golongan petani di Malaysia tidak berpengetahuan dan gagal menjamin bekalan makanan negara.

"Hakikatnya, petani bersawah sejak turun temurun menunjukkan kesinambungan ilmu dan pengalaman dalam bersawah yang luas dan intim dengan ekosistem padi.

"Sebab itu kami mahu semua wakil rakyat, parti politik dan kerajaan mendengar suara pesawah dan cuba memahami apa sebenarnya masalah yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengandungi 14 saranan yang bertujuan mengangkat suara pesawah di luar Parlimen, hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Antara saranan yang terkandung dalam memorandum itu ialah menghentikan projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sebaliknya menyokong dan meramaikan usahawan petani.

Selain itu, mereka meminta supaya menghentikan rancangan untuk menyertai Konvensyen UPOV 91 dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman, sebaliknya memperkasa hak petani untuk menyimpan, memproses, berkongsi dan menjual benih secara bukan komersial.

Antaranya paling utama adalah isu SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), hasrat Malaysia menandatangani Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991, kebocoran subsidi dan monopoli dalam industri," katanya.

Berita Harian X