Khamis, 17 March 2022 | 11:13am
Keadaan kenderaan milik orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu
Keadaan kenderaan milik orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu

Guna tasik rekreasi, wujudkan tasik kering untuk tangani banjir Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melaksanakan penambahbaikan sistem saliran secara besar-besaran di seluruh ibu negara dan kawasan sekitarnya, jika mahu mengatasi isu banjir yang semakin kerap berlaku.

Ia berikutan faktor kapasiti sistem saliran yang tidak lagi dapat menampung jumlah taburan hujan ketika ini, dilihat antara punca utama insiden banjir kilat terbaharu di Kuala Lumpur minggu lalu, yang menenggelamkan ribuan kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Datuk Zulkhairi Md Zain, berkata proses penyelenggaraan dan pembesaran sistem saliran perlu dilaksanakan di seluruh pusat bandar, dan pinggir bandar yang menyalurkan air ke Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, jumlah kolam takungan juga perlu ditambah dan diperbesarkan, termasuk menggunakan tasik rekreasi di sekitar ibu negara sebagai kolam takungan.

"Isu pengurusan perparitan antara yang perlu diberi perhatian utama. Ini termasuk longkang kecil dan sistem saliran monsun seperti di kawasan Sungai Nadi Kehidupan yang menjadi pertembungan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang, yang mungkin mengumpul kelodak dan sedimen hasil pembangunan di hulu sungai. I

"Proses pembesaran sistem saliran juga perlu mengambil kira faktor pembangunan dan jumlah hujan yang tinggi ketika ini serta kemungkinan pertambahan taburan hujan pada masa depan.

"Kerajaan atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mungkin boleh mengkaji untuk menanam spesies tumbuhan yang boleh menyerap air secara lebih cepat di kawasan berisiko banjir bagi membantu meresap limpahan air dengan lebih pantas," katanya kepada BH.

BH sebelum ini melaporkan, Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusop, berkata sebahagian Kuala Lumpur berisiko tenggelam jika menerima taburan hujan lebih 155 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.

Mengulas lanjut, Zulkhairi menyarankan DBKL menggunakan tasik rekreasi di sekitar ibu negara untuk menampung lebihan air sungai ketika hujan lebat, sekali gus mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur.

"Di bawah DBKL, kita ada Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Perdana yang ketika ini lebih fokus sebagai kawasan rekreasi.

"Kita perlu fikirkan kesesuaian dan kaedah untuk menambah fungsinya untuk menampung lebihan air dari sungai di Kuala Lumpur ketika hujan, selain kekal sebagai taman rekreasi pada waktu biasa.

"Kita juga boleh wujudkan kawasan 'dry lake' atau tasik kering. Ia seperti kawasan padang rumput yang luas dan boleh digunakan untuk rekreasi, tetapi apabila hujan, air berkumpul memenuhi kawasan ini, sebelum ia masuk ke longkang dan sungai.

"Ini diwujudkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memiliki sungai, di mana ia berkesan mengelak banjir selama 20 tahun, sebelum universiti itu berdepan isu banjir sejak kebelakangan ini akibat taburan hujan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, pakar kejuruteraan sumber air di University of Stuttgart, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, menggesa kerajaan menambah baik sistem ramalan hujan dan banjir, bagi membolehkan Terowong SMART bertindak lebih pantas.

Beliau yakin kapasiti sedia ada di Terowong SMART mampu mengatasi isu banjir di ibu negara, namun sistem ramalan cuaca dan banjir yang kurang tepat menyebabkan air sungai tidak dialirkan lebih pantas ke dalam terowong itu.

"Kita perlu perbaiki sistem ramalan hujan dan banjir, serta menambah baik indikator untuk membolehkan Terowong SMART diaktif lebih awal. Pada saya, operasi terowong ini masih dikira lewat ketika banjir minggu lalu.

"Terowong SMART masih terbaik untuk kita. Di Tokyo juga ada terowong banjir bawah tanah yang besar, tapi kadang-kadang banjir masih berlaku kerana ramalan hujan dan banjir masih tidak tepat.

"Kita juga tidak boleh bergantung pada bacaan sistem komputer sahaja. Apabila dijangkakan akan berlaku hujan lebat, bacaan aras air perlu juga dibuat secara fizikal kerana sistem sedia ada masih belum cukup baik," katanya.

"Bacaan ini perlu dibuat oleh mereka yang pakar, sekali gus boleh memberi amaran lebih pantas berbanding sistem komputer untuk mengaktifkan Terowong SMART secara lebih awal," katanya yang juga Naib Canselor UNITAR International University itu.

Pakar perancangan bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Mizan Hitam, pula berpandangan Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak kolam takungan di dalam bandar, selain memperluaskan kolam takungan dan sistem saliran sedia ada.

Selain itu, katanya, perancangan pembangunan di ibu negara perlu dikawal dengan lebih ketat, antaranya mengelak pembangunan di lokasi yang tepu bina dan kawasan tadahan air.

"Pemaju pula perlu akur dan patuh dengan ulasan teknikal DBKL, yang kebiasaannya sudah mengambil kira aspek kekangan perparitan dan kejuruteraan.

"DBKL perlu mengkaji semula saiz saliran dan kolam takungan supaya ia mampu menampung taburan hujan ketika ini, dan tidak membenarkan pembangunan di kawasan tadahan air," katanya.

Berita Harian X