Rabu, 16 March 2022 | 3:13pm
Keadaan tempat letak kereta terbuka di Jalan Kia Peng dalam kejadian banjir di ibu kota, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Keadaan tempat letak kereta terbuka di Jalan Kia Peng dalam kejadian banjir di ibu kota, baru-baru ini. - Foto fail NSTP

Sistem ramalan tidak dapat perinci lokasi dilanda hujan

KUALA LUMPUR: Kelemahan sistem ramalan hujan dan banjir yang tidak terperinci adalah antara faktor kegagalan pemakluman awal kepada orang ramai mengenai risiko banjir di ibu negara minggu lalu menyebabkan ribuan kenderaan ditenggelami air.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, berkata sistem ramalan hujan dan banjir sedia ada tidak dapat menunjukkan lokasi hujan dengan tepat dan terperinci, sekali gus menyukarkan ramalan dan amaran banjir dibuat lebih awal.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) sedang merangka dan menambah baik sistem baharu bagi mengatasi isu berkenaan.

"Berkenaan sistem amaran yang perlu diberi lebih awal kepada penduduk, memang betul kita tidak dapat memberikan lokasi tepat di mana ia (hujan) akan berlaku.

"Kita boleh beri amaran (hujan lebat dan hujan berterusan) satu atau dua hari lebih awal tapi tak boleh nak 'pin-point' (perincikan) kawasan di mana ia akan berlaku. Ini jadi isu besar.

"Contohnya, seperti banjir di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hujan berlaku di lembangan Sungai Bunus, tapi amaran awal yang kita keluarkan tidak perincikan ia akan datang di Sungai Bunus. Itu kita akui.

"Disebabkan itu, JPS, METMalaysia dan NAHRIM sedang berusaha mengkaji dengan mendalam, termasuk bekerjasama dengan pihak luar untuk menambah baik sistem amaran," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang bertanya mengapa Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) tidak digunakan bagi memberi amaran awal kepada orang awam di Kuala Lumpur mengenai risiko banjir, sekali gus membolehkan kenderaan dipindahkan ke lokasi selamat.

Menjawab soalan asal Kor Ming mengenai kerugian akibat banjir besar hujung tahun lalu, Mansor berkata, jumlah kerugian keseluruhan di beberapa negeri bernilai RM6.1 bilion, merangkumi kerugian tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Katanya, banjir besar itu merosakkan infrastruktur awam dan infrastruktur JPS, termasuk hakisan tebing sungai, kerosakan struktur hidrologi dan kolam takungan banjir, yang dianggarkan berjumlah RM640 juta.

"Untuk memastikan kerja pascabanjir dapat dilaksanakan dengan segera, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi kerja pembaikan demi mengurangkan impak banjir di seluruh negara.

"Bagi kawasan yang terjejas akibat banjir yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh, kementerian akan memohon peruntukan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun," katanya.

Berita Harian X