Rabu, 16 March 2022 | 2:21pm

'Keluar 10 minit, pergi makan angin!'

KUALA LUMPUR: Pertikaman lidah tanpa henti antara Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, dengan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berhubung isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), mencetuskan kekecohan pada sesi penggulungan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Malah, suasana panas berkenaan memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menangguhkan sementara sesi penggulungan bagi Kementerian Perpaduan Negara itu.

Keadaan itu tercetus apabila Kulasegaran yang bangun mencelah mempersoalkan kelewatan kementerian mengadakan taklimat berhubung Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI).

"Kelewatan mengadakan mesyuarat ini (PTMI) amat mendukacitakan. Saya ada ramai pengundi India dalam kawasan saya, ramai bertanyakan kepada saya," katanya.

Dari kiri: V N Sivakumar, Datuk Seri Halimah Sadique dan M Kulasegaran.
Dari kiri: V N Sivakumar, Datuk Seri Halimah Sadique dan M Kulasegaran.

Halimah yang menjawab celahan itu memaklumkan, tarikh taklimat yang dicadangkan pada 14 Januari lalu terpaksa ditangguhkan kerana jatuh pada hari sambutan Ponggal.

Beliau kemudian memberitahu sesi taklimat terbabit akan diadakan pada 22 Mac ini.

Katanya, beliau juga sudah menghantar surat kepada Ketua Pembangkang untuk mengadakan taklimat berkenaan pada tarikh itu, dan ia dipersetujui.

"Namun, perkara bersabit soal siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), itu saya tidak boleh nak bentangkan. Malah ada persoalan dibangkitkan berkaitan siasatan, saya tidak boleh jawab, itu SPRM akan jawab," katanya.

Bagaimanapun, jawapan diberikan Halimah mengundang perasaan tidak puas hati Kulasegaran sehingga wakil rakyat itu mempersoalkan sama ada Halimah adalah 'Menteri Perpaduan atau Menteri Antiperpaduan'.

"Saya pun ada pengundi India, Yang Berhormat. Saya sudah memaklumkan pada sesi lalu, kita belum lancar pelan tindakan itu dan Perdana Menteri bersetuju mewujudkan jawatankuasa kabinet untuk sosioekonomi masyarakat India. Yang Berhormat janganlah emosi sangat," jawab Halimah.

Pertikaman lidah itu bagaimanapun berterusan sebelum beberapa wakil rakyat pembangkang lain, termasuk V N Sivakumar (PH-Batu Gajah) bangun bertanyakan isu terbabit kepada Halimah.

Kekecohan berkenaan menyebabkan Azhar terpaksa masuk campur dan mengarahkan Sivakumar keluar dewan selama 10 minit selepas wakil rakyat itu enggan duduk walaupun diminta berulang kali.

"Keluar 10 minit, pergi makan angin!" katanya dengan sedikit meninggikan suara.

Berita Harian X