Rabu, 16 March 2022 | 1:41pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith. - FOTO BERNAMA

Kerajaan yakin capai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025, dapat dicapai berikutan pelbagai strategi makro diperkenalkan untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Katanya, antara strategi itu ialah usaha meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepat peralihan struktur ekonomi, memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global, meningkatkan bahagian pampasan pekerja, dan memastikan kemampanan fiskal dalam jangka panjang.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan 7.3 peratus setahun.

"Sasaran ditetapkan ini adalah realistik berdasarkan pencapaian peningkatan purata pendapatan isi rumah bagi tempoh 2009 hingga 2019, iaitu sebanyak 7.0 peratus setahun," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan 2025 sebagai sasaran negara berpendapatan tinggi, bagi mencapai pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan seperti yang terkandung dalam RMK12.

Eddin Syazlee berkata, sasaran ditetapkan itu juga selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa sebanyak 7.4 peratus setahun bagi tempoh RMK12, serta matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.

"Peranan sektor swasta akan terus diperkasakan supaya kembali menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Bagi memperkukuhkan peranan sektor swasta, Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional akan menjadi asas pembaharuan yang komprehensif dalam semua inisiatif dan dasar berkaitan pelaburan," katanya.

Eddin Syazlee berkata, institusi pelaburan akan distruktur semula untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan kompleks serta mendorong penerimagunaan teknologi termaju.

Beliau berkata, kerajaan juga komited meningkat dan mempelbagaikan sumber pendapatan.

Katanya, ia termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan, menambah baik akses keperluan asas, menggalakkan keusahawanan dan pelaburan kepada portfolio penjanaan pendapatan, serta meningkatkan sistem perlindungan sosial. – BERNAMA

Berita Harian X