Rabu, 16 March 2022 | 1:14pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid. - Foto BERNAMA

'Bilangan kakitangan, pakar di NADMA jauh ketinggalan'

KUALA LUMPUR: Model tadbir urus badan pengurusan bencana negara dilihat masih ketinggalan berbanding beberapa negara lain, khususnya dalam aspek jumlah kakitangan dan pakar di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata struktur organisasi NADMA ketika ini adalah kecil dan hanya beroperasi pada peringkat pusat, dengan 94 perjawatan pelbagai gred pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan.

Katanya, NADMA juga tidak mempunyai kakitangan pada peringkat negeri dan daerah, sekali gus menyukarkan koordinasi serta penyampaian maklumat dua hala secara terus dengan agensi di lapangan.

"Langkah pengukuhan pengurusan bencana di negara kita wajar mengambil kira praktikaliti di negara lain yang mempunyai mekanisme pengurusan bencana hampir sama, karakteristik masyarakat pelbagai budaya dan agama, risiko bencana dan tahap kompetensi, serta teknologi pengurusan bencana.

"Jika dibandingkan perjawatan antara agensi pengurusan bencana dengan negara jiran, Majlis Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) di Filipina memiliki 900 pegawai sokongan.

"Di Indonesia, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) mempunyai seramai 630 kakitangan, tidak termasuk 33 cawangan BNPB pada peringkat wilayah dan 12 cawangan pada peringkat daerah.

"Menurut Pejabat Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejumlah 140 negara mempunyai agensi bencana masing-masing.

"Namun, Malaysia semakin jauh ketinggalan jika dibandingkan dari aspek bilangan pegawai, pakar dan individu berpengalaman dalam NADMA," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) sama ada kajian penstrukturan semula NADMA turut mengambil kira pengurusan bencana di luar negara sebagai penanda aras.

Mastura berkata, keperluan untuk NADMA diwujudkan di negeri dan daerah diberi penekanan berdasarkan kelemahan pengurusan bencana ketika kejadian banjir besar luar biasa yang melanda beberapa negeri sejak 18 Disember tahun lalu.

"Bencana ini memperlihatkan sisi kelemahan dalam struktur pengurusan bencana negara di mana NADMA hanya mempunyai kakitangan bertugas pada peringkat pusat dan tiada kakitangan pada peringkat daerah serta negeri. Ini kerana asas penubuhan NADMA pada 26 Ogos 2015 adalah sebagai penyelaras semata-mata.

"Struktur NADMA yang padat dan 'top heavy' menyebabkan berlaku kepincangan dalam pelaksanaan mekanisme pengurusan bencana berpaksikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah-Negeri-Pusat.

"Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti berikutan kejadian banjir ketika Monsun Timur Laut 2021/2022 yang lalu ialah isu 'chain of command' dalam pelaksanaan mekanisme tindak balas bencana," katanya.

Berita Harian X